Thursday, 10 May 2012

Kalau Itu Aku.........


Aku nak sangat-sangat mempunyai seorang boy friend. Akhirnya, impianku tercapai selepas usaha berpenat lelah di laman sosial. Punyalah susah nak usha dia. Kalau ada dia dalam hidup kitakan best. Ye la, dia menjadi peneman kita berkongsi segala masalah. Boleh bergurau-gurau senda. Alangkah romantiknya, semua pekerjaan atau aktiviti dilakukan secara bersama-sama. Kau suapkan aku makanan dan aku juga suapkan makanan ke mulut engkau. Minum pula dalam satu gelas... berkongsi straw. Bahagianya hidup ini.

Bila hujung minggu tidak sekali pun kita ter'miss' untuk berjumpa di Mid Valey. Pastinya kita bersama-sama menonton movie di pawagam. Dalam pawagam pun kita berpegang tangan, tapi kena berhati-hati dan 'cover line', takut kantoi. Tapi setakat ni OK je..... Aku selalu memangil engkau dengan panggilan sayang dan engkau panggil aku dengan gelaran 'babby'. Oh romantiknya. Setiap kali aku melihat wajah tampanmu... hatiku tenang... tidak terungkap dengan kata-kata. Aku betul-betul cinta dan sayang padamu.

Takkala kita berpisah dan kau mula mengambil train ke Arah Petaling Jaya dan aku mengambil train ke arah Seremban, hati mula sedih. Tak sanggup untuk berpisah dengan engkau. Rasa seolah-olah kita tidak mungkin untuk berjumpa lagi. Teringat pada hari tu... kau melambai-lambai tangan ke arah aku bila pintu train ditutup... tapi tak sampai 1 minit train bergerak kau dah pun menghantar sms rindu pada aku. Setiap malam, kau tanyakan aku sudah makan atau belum..... dan kadang-kadang kau kacau aku masa nak tidur. Tapi ianya sangat romantik sayang.

Aku teringin sekali mendakap badanmu sayang....Ingin sekali memeluk tubuhmu...dan pegang tanganmu. Aku rasa betul-betul selamat berada dalam dakapanmu dan aku tak tahu bagaimana keadaaan aku jika kau tinggalkan aku.

Aku sangat-sangat mencintaimu......

(Babak 1)

Disebalik Cerita Babak 1:

Tapi.... HAKIKATNYA.... itu hanya IMAGINASI sahaja..... Perkara tersebut hanya gambaran minda dan tidak mungkin menjadi kenyataan.

Bagi kebanyakkan 'orang macam kita', memang kita nak sangat-sangat ada orang tersayang, orang kita boleh 'bermesra-mesra' selalu. Bagi kebanyakkan 'straight' sekurang-kurangnya mereka boleh 'approach' orang yang mereka suka untuk suatu perhubungan yang terjamin. Tapi, bagi 'orang macam kita', itu adalah mustahil kerana kalau terjadi pun, atau sesayang mana pun kita kat dia, dia tetap tidak halal untuk kita sebagaimana hubungan seorang suami dan isteri. Ianya umpama kita makan daging babi sedangkan di sekitar kita ada daging halal (bukan bermaksud nak kata orang yang bernaluri songsang itu sama taraf dengan daging babi).

Perkara yang SALAH tetap salah dan tidak mungkin menjadi BETUL. Benda DOSA tetap DOSA dan tidak sesekali bertukar menjadi PAHALA. Benda yang bertentang dengan AGAMA, tetap salah dan tidak sesekali menjadi AMAL KEBAIKAN.



*************************************************************


Zaki mempunyai seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Dia sangat sayangkan adik-adiknya. Dia menjaga adik-adiknya bagai menatang minyak yang penuh. Maklumlah ayahnya sudah lama meninggal dan dia pula anak sulung dalam 3 beradik tersebut. Umur adik lelakinya sekarang adalah 22 tahun manakala adik perempuannya 18 tahun. Pada suatu hari Zaki mengetahui bahawa adik lelakinya adalah seorang gay dan dia telah melakukan hubungan intim dengan kawan baik zaki sendiri. Zaki tak kisah sebab kejadian itu bukan berlaku pada dirinya tapi adiknya. Dalam masa yang sama, seorang kenalan adik perempuannya meminta kebenaran daripada zaki untuk berzina dengan adiknya. Zaki benarkannaya dan Zaki tidak menunjukkan apa-apa emosi luar kawalan. (emmm.... bagusnya ada abang macam ni)

(Babak 2 )

Disebalik Cerita Babak 2:
 
Cuba bayangkan Zaki itu abang kita dan si naluri songsang itu kita. Apa perasaan abang kita kalau mengetahui bahawa adiknya telah melakukan zina liwat dengan seseorang. Cuba bayangkan pula perasaan abang kita kalau adik perempuan kita telah berzina atau dirogol dengan seorang lelaki. Mesti abang kita mengamuk sakan.


Kadaang-kadang kita kena fikir melampaui batas kepentingan kita untuk mengetahui sesuatu perkara itu benar atau salah. Kalau kita hanya mengikut sesuatu tindakan hanya berdasarkan kaca mata kita sahaja, kita terperangkap dengan ruang lingkup kepentingan diri dan nafsu kita sahaja.

Kita memandang zina dan liwat itu tarafnya berbeza dan memandang zina itu adalah lebih berat daripada liwat. Mungkin sebabnya, zina akan mendatangkan masalah 'kedua' iaitu kemungkinan mengandung dan si perempuan membuang anak hatta sehingga boleh membunuh anak tersebut,  tetapi liwat tidak. Mungkin juga atas dasar suka sama suka, maka liwat itu tiada salahnya. Tapi yakinlah, sekali kita melakukannya, sampai satu saat, akan ada satu kekesalan dan kita rasa amat bersalah pada diri dan pada Tuhan.


Bayangkan pula kalau ibu kita dirogol oleh seseorang. Mahukah kita atau dapatkah kita terimanya? Kalau jawapannya tidak, begitu juga dengan orang lain. Seorang ayah juga tidak rela atau suka jika anaknya diliwat oleh orang lain.

**************************************************************

Bak kata sign board di atas:

Ikut SUKA, DUKA yang kita dapat,
Ikut RASA, BINASA diri dan keluarga,
Ikut HATI, MATI katak,
Pandulah IMAN dengan BERHATI-HATI.

Nota Berkaki:
Cerita ini mempunyai unsur-unsur sarkistik yang pada sebahagian orang tidak sesuai untuk bacaan masyarakat umum.

Wednesday, 9 May 2012

Isthikarah Cinta



***************Kembali kepada Fitrah*********************
'Kembali kepada fitrah', satu ungkapan yang mudah, semudah menyebutnya, tetapi tidak semudah melaksanakannya.  Memang benar,di dalam hati kita tertarik dengan jantina yang sama jenis dengan kita. Tetapi, kita mesti melawan naluri tersebut kerana ianya adalah sesuatu yang songsang dan batil. Kita tidak dapat lari atau menafikan perasaan cinta, kasih dan sayang memang wujud dalam diri kita. Tambah lagi bila kita melihat seseorang itu menepati ciri-ciri idaman kita umpamanya hensem, kacak, penampilan menarik, peramah, pandai mengambil hati kita, pandai berjenaka dan sebagainya.  Sebelum membuat keputusan, kita mesti melihat kembali fitrah kejadian manusia. Tanya kembali pada diri kita, siapa kita?. Adakah tindakan yang kita buat itu betul?. Bagaimana kita nak tahu tindakan yang kita ambil betul atau salah?. Sama ada tindakan itu betul atau salah, ianya ada kesan dalam diri kita. Kita dapat merasainya melalui perasaan kita, dan panduan ilmu agama yang kita ada.



*****************Baik=Baik, Jahat=Jahat********************

Jodoh kita semangnya telah ditentukan oleh Allah. Tapi, jodoh itu tidak datang bergolek. Kita mesti berusaha mencari dan mendapatkannya. Tidak cukup dengan hanya berdoa dan mengharapkan kita mendapat jodoh dan berkahwin. Walaupun begitu, itu tidak bermaksud kita boleh keluar dengan mana-mana perempuan sewenang-wenangnya. Ianya sudah ada garis panduan yang digariskan agama. Juga jodoh tidak datang semudah kita bermimpi dan berkhayal dengan siapa kita nak nikahi. Semuanya memerlukan DUIT.... Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal. Semua orang mengimpikan untuk mendapat isteri yang baik. Seseorang itu, pada fasa ‘mengawan’, memang dia cuba ‘dating’ dengan sebanyak mungkin wanita. Tujuannya adalah untuk menilai siapa yang paling serasi dengan dirinya dan siapa yang paling baik.

Aku yakin dan percaya ya Allah bahawa apa yang Engkau janjikan seperti dalam surah An-Nur ayat 26 adalah benar. Engkau menjanjikan kepada hamba-hamba-Mu bahawa Engkau akan jodohkan perempuan yang keji dengan lelaki yang keji, lelaki yang keji dengan perempuan yang keji, lelaki yang baik dengan perempuan yang baik, perempuan yang baik dengan lelaki yang baik, dan Engkau akan memberikan rezeki serta memberkati kehidupan orang yang baik. Tetapi mana mungkin aku akan mendapat seorang wanita yang baik kalau aku mempunyai perangai yang buruk. Ya Allah bantulah aku untuk aku mengembara daripada jahilliyah hati yang kelam dan banyak dosa kepada seorang muslim yang awesome, yang beriman. Bantulah aku dalam melakukan reformasi dan transformasi  jiwa dan melalui jalan pentarbiyahan rohani ini. Kuatkan aku ya Allah. Menjadi lelaki yang baik itu prasyarat untuk mendapat wanita yang baik. Aku mesti mengubah diri ke arah kebaikan kerana aku percaya kata-kata Engkau yang disampaikan oleh seorang insan agung, kekasih-Mu yang  bernama Muhammad.



*********************Istikharahku**********************

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tidak berputus asa dengan sentiasa meminta kepada Allah. Aku telah pun melakukan solat isthikarah sejak lebih daripada 5 bulan yang lalu setiap malam dan akan terus melakukannya. Kebanyakkannya aku lakukan di Masjid. Ingat, bukan senang nak senang, tapi bukan susah nak susah. Benda yang bernilai semestinya sukar dan payah untuk mendapatkannya. Emas itu mahal harganya kerana sukar untuk mendapatkannya. Ianya bukan boleh dilombong di semua tempat. Hanya tempat-tempat tertentu terdapat emas yang digelar lubuk emas. Mengapa batu kelikir itu bersepah di tepi jalan dan tidak ada orang yang mengambilnya untuk dijadikan mata cincin? Ini kerana batu kelikir tidak mempunyai nilai berbanding emas atau berlian. Begitu juga wanita yang baik, ianya tiada 'di tepi-tepi' jalan, atau tempat yang tidak elok.

Setiap malam aku memperhambakan diriku untuk mengadap dan meminta kepada-Mu. Walaupun apa yang diminta itu mempunyai unsur-unsur keduniaan, tetapi ianya adalah terapi untuk aku mendekatkan diriku pada-Mu ya Allah. Aku mengadap-Mu dalam keadaan aku hinakan diriku. Aku insan yang lemah, yang tiada upaya dan tiada kuasa. Pada-Mu jualah aku berserah segala-galanya. Di sujudku yang terakhir aku memohon pada-Mu agar Engkau ampunkan segala dosa-dosaku. Ampunkan juga dosa ibu-bapaku, guru-guruku dan semua orang Islam. Disujudku yang akhir juga, aku memohon sungguh-sungguh agar Engkau hilangkan naluri songsang ini, lenyapkan dalam diriku naluri songsang ini.

Dengan penuh kerendahan dan sungguh-sungguh, aku memohon kepada-Mu. ‘Ya Allah, jadikanlah aku lelaki yang baik, jadikan aku lelaki yang paling baik, paling-paling baik, paling-paling-paling baik ya Allah’. ‘Kurniakanlah juga aku seorang wanita yang baik, wanita yang paling baik, paling-paling baik, paling-paling-paling baik ya Allah’. ‘Ya Allah, kau berkatilah aku, Kau rahmatilah aku ya Allah’. ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, Kau tetapkan aku di atas agama-Mu, dan matikanlah aku dalam keadaan yang baik, dalam keadaan orang beriman’.

‘Ya Allah, bukanlah pintu rezekiku dan cukupkanlah keperluan diriku’. ‘Sekiranya rezekiku ada di hadapanku, maka Kau datangkanlah dari arah hadapanku. Sekiranya ia ada dibelakangku, maka Kau datangkanlah dari arah belakangku, sekiranya ia ada di atasku, maka Engkau datangkanlah dari arah atasku, Sekiranya ia di kiriku, maka Engkau datangkan dari arah kiriku, sekiranya ia terletak di kananku, maka Engkau hadirkan ia dari kananku, dan sekiranya ia terletak di bawahku, maka Engkau datangkan ia dari bawahku’.‘ Ya......Allah,........Tiada tempat aku mengadu, meluahkan perasaan dan meminta selain Engkau ya Allah’. ‘Perkenankanlah doaku ini’. Inilah antara kata-kata yang aku lafazkan setiap hari di dalam hati dalam sujud terakhir istikarahku. Aku tahu Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Walaupun aku mengulang permintaan yang sama, aku yakin suatu hari nanti Allah akan tetap memperkenankan doa aku. Mungkin Allah akan perkenankannya cepat, mungkin juga lambat, mungkin Allah nak tukarkan permintaanku dalam bentuk yang lain, mungkin juga Allah ingin memberikannya di akhirat nanti.

Jika sekiranya, telah ditakdirkan untuk aku tidak merasai pengalaman bersalaman dengan kadi sambil melafazkan ‘Aku terima nikahnya.......’, aku redha ya Allah (Kita tak tahu bila kita akan mati). Cuma satu sahaja yang aku pinta pada-Mu, Jangan Engkau murka pada aku, jangan Engkau benci pada aku, jangan Engkau hilangkan keberkatan hidupku sepanjang hayat dikandung badan. Kau rahmatilah aku dan masukkan aku ke dalam syurga-Mu kerana aku tahu bila aku sudah berjaya masuk ke syurga, semua aku boleh minta kepada-Mu. Jika aku berjaya masuk ke syurga-Mu, pada ketika itu, perkara pertama yang aku nak minta adalah aku akan berdoa dan meminta kepada-Mu agar aku kembali menjadi lelaki yang normal nalurinya. Aku teringin sekali meminum arak di syurga, meminum air sungai yang mengalir di dalam syurga dan merasai semua janji-janji-Mu seperti yang termaktub dalam Kalam-Mu. Membayangkan sahaja tentang syurga sebenarnya sudah tidak terungkap dengan kata-kata (kerana nikmatnya lebih daripada apa yang digambarkan).

Jika aku tidak diberi peluang untuk mencintai bakal isteriku di dunia hingga sampai ke syurga, izinkan aku bercinta dengan-Mu di dunia hingga sampai ke syurga.

Itulah Isthikarah Cintaku....




dan jika aku jatuh cinta dan jatuh hati......





Monday, 7 May 2012

Tertipu Dengan Sebuah Penghijrahan: Belajarlah Daripada PLHIV




****** Kesilapan disulami dengan Kekesalan**********


Sejarah hidup mengajar kita banyak perkara. Sejarah hidup itu adalah satu pengalaman yang kita rasai dan terokai sendiri. Satu pengalaman yang bersalut pahit dan manis. Kita akan sentiasa teringat peristiwa pahit atau manis yang berlaku dalam hidup kita kerana ianya memberi kesan kepada kehidupan kita. Pengalaman tersebut tersimpan erat dalam benak fikiran kita. Sejarah hidup mengubah kita segala-galanya. Malah boleh mengubah kita daripada seorang yang periang menjadi pendiam, seorang ‘malaikat’ menjadi ‘syaitan’, seorang ‘raja’ menjadi hamba atau sebaliknya.

Setiap orang pasti pernah melakukan kesilapan. Sama ada kesilapan itu kita sedar atau tidak. Sama ada kesilapan itu besar atau kecil. Bertitik tolak daripada kesilapan itu, secara fitrahnya akan muncul satu perasaan rasa bersalah dalam diri. Mungkin rasa bersalah itu datang sejurus sahaja selepas kita melakukan kesalahan itu. Mungkin juga ianya datang selepas beberapa hari kita melakukan kesalahan itu, mungkin juga ianya datang selepas beberapa bulan, hatta mungkin perasaaan bersalah itu datang selepas beberapa tahun kita melakukan kesalahan tersebut. Semuanya bergantung atas keimanan dan kepercayaan kita.

Apabila kita melakukan sesuatu kesalahan, kesilapan atau kemaksiatan, kita rasa perkara itu perkara biasa. Memang timbul satu kekesalan, tapi kita abaikan rasa kekesalan itu kerana tidak mahu memikirkan sangat hal sedemikian dan tidak mahu membebankan kepala otak sendiri. Kita abaikan kesalahan kita untuk ‘menyedapkan’ hati kita. Tanpa kita sedari, kita semakin hanyut ke arah muara sungai pengderhakaan dan bakal memasuki lautan nafsu yang memungkinkan kita jauh dengan rahmat pencipta.



***************Penghijrahan Masa dan Lokaliti**************


Bila kita tersedar..... kita mula berfikir dan terdetik untuk berubah. Walaupun kita mengambil pendekatan yang agak drastik untuk berubah dan mengambil beberapa langkah pencegahan, ianya tidak bertahan lama. Kita kembali kepada gaya hidup lama. Kita sering tertipu dengan penghijrahan tempat. Kita menyangka bahawa apabila kita berhijrah ke satu tempat yang lain, kita akan berubah. Hakikatnya... bila kita berhijrah ke tempat yang baru, kita masih lagi  dengan sikap yang lama. Kita masih lagi melakukan maksiat pada Allah. Mujahadah kita belum cukup kuat, kita kembali tewas, kembali ditawan oleh hawa nafsu.

Tidak cukup dengan kita berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain demi sebuah perubahan, kita juga turut melakukan penghijrahan masa. Kita menganggap kita telah melakukan tindakan susulan yang efektif dan sistematik untuk berubah. Terlintas dalam hati kita, sekarang aku berumur 20 tahun. Pada umur aku 23 tahun, aku nak tinggalkan semua ini. Tetapi, bila umur kita 23 tahun, kita masih lagi tidak mampu untuk melepaskan diri dari ‘belenggu’ ini. ‘Tak mengapa... kita tewas... bukankah kegagalan itu perkara biasa dalam hidup?’. Sekali lagi kita memujuk diri. Kali ini kita bertekad pula untuk berubah ketika umur kita 25 tahun. Lagi sekali, kita gagal dan terkandas dalam ‘belenggu’ yang sama.

Semuanya adalah satu penipuan terancang ke atas diri sendiri . Yang kita lakukan sebenarnya bukan penghijrahan masa, tetapi penangguhan masa yang tiada penghujung. Yang kita lakukan sebenarnya bukan penghijrahan tempat, tetapi lebih kepada merasai persekitaran yang berbeza dengan sebelumnya. Kita ingin berubah, tetapi menggunakan acuan yang sama. Gaya dan cara hidup yang sama. Bagaimana kita ingin mendapatkan ais berbentuk silinder kalau kita masukkan air ke dalam acuan berbentuk piramid?. Kalau kita mengisi air kedalam satu bekas berbentuk silinder, ais tersebut akan membentuk silinder. Kalau kita isi air ke dalam sebuah bekas berbentuk piramid, ais yang terbentuk  adalah sebuah piramid. Ianya akan mengikut bentuk bekas, akan mengikut bentuk acuan. Soalnya kita telah menggunakan acuan yang salah. 


**************Tahu Tidak Mencetuskan Mahu**************


Tahu sahaja tidak berupaya untuk mengubah diri kita daripada jahat kepada baik. Tahu yang tidak mencetuskan ‘mahu’. Lihat sahaja berapa ramai yang mendapat pendidikan agama yang cukup ketika usia keremajaan, tetapi menjadi durjana bila mencapai usia kematangan. Lihat sahaja berapa ramai perempuan yang tidak memakai tudung. Jika ditanya, adakah rambut itu aurat? Dengan tangkasnya mereka bangun berdiri dan melaungkan dengan kuat, ‘Ya.... rambut adalah aurat, dan memakai pakaian yang ketat juga mendedahkan aurat’. Tetapi berapa ramai yang masih tidak bertudung?. Buktinya lagi, bila mereka ke masjid atau mahkamah syariah, atau ada kematian, mereka akan mengenakan tudung.  Jika tiada, mereka akan berusaha membelinya. Kita juga tahu melihat aurat orang lain adalah aurat. Tetapi kita masih lagi melihat gambar-gambar atau video-video lucah. Bukankan kita tahu ianya haram?. Jawapannya.... Ya.. ia haram. Tapi tahu itu tidak mampu mengubah diri kita daripada tidak melihatnya. Pokonya, tiada kesedaran walaupun tahu. Tahu yang tidak mencetuskan mahu untuk sebuah kesedaran.


************Belajarlah daripada PLHIV*************


Mereka adalah sekelompok manusia daripada golongan kita yang telah diuji dengan satu ujian hebat. Beruntunglah mereka-mereka yang telah sedar akan hikmat disebalik ujian yang menimpa mereka. Mereka tiada beza dengan kita... bukankah yang membezakan antara manusia dengan Allah adalah iman. Pandanglah mereka dengan neraca Allah, bukan neraca manusia. Belajarlah daripada mereka kerana mereka telah atau sedang melalui pertarbiyahan rohani yang cukup hebat. Mereka hebat kerana mereka berjaya dan masih mampu mengharunginya walaupun sukar. Cuba kita bayangkan dan selami perasaan mereka. Bilamana doktor mengesahkan darah kita mengandungi virus HIV, badan kita akan rasa seram sejuk. Otak kita bagaiman ‘black-out’. Kita akan rasa hidup ini tiada erti lagi. Bagi yang belum berkahwin akan merasai tiada lagi nikmat sebuah perkahwinan. Bagi yang sudah berubah tangga, akan merasai suatu ‘beban’ yang berat akan ditanggung oleh anak atau isterinya. Kita akan merasai seoalah-olah tiada lagi ‘nikmat hidup’. Kita tidak diuji dengan penyakit ini, tetapi kita hanya mampu membayangkan. Membayangkan sahaja sudah cukup menyeramkan... apatah lagi merasainya sendiri.....

Kita hanya akan berubah apabila kita mendapat satu tekanan yang hebat. Tekanan yang boleh mencelarukan pemikiran dan stress kita. Tetapi, semuanya bergantung pada kesedaran kita. Mengapa mereka boleh berubah dan ianya mengubah 360 darjah kehidupan mereka? Ianya megubah persepsi masyarakat kepada mereka dan persepsi mereka terhadap masyarakat. Ianya mengubah cara kita menghayati agama. Ianya mengubah cara kita bersosial. Ianya mengubah sepenuhnya cara kita melayan diri. Semuanya berubah. Ya.. kerana telah timbul satu kesedaran yang benar dan sungguh-sunguh dalam diri mereka. Kita semua ingin berubah dengan mengharapkan satu lonjakan kepada perubahan itu. Tetapi bukan mendoakan kita mendapat ujian itu. Ujian yang mencetuskan aura berubah itu bukan hanya dicetuskan dengan ujian penyakit ini, tetapi ianya boleh didatangkan oleh Allah melalui pelbagai cara. Kita mesti memandangnya dengan pelbagai cara dan mengubah cara kita berfikir. Bukan lagi vertical thinking tapi lateral thinking dengan mengaplikasikan konsep berfikir Dr. Edward De Bono. Perubahan sebenar yang tercetus adalah datangnya dari dalam diri kita sendiri. Adapaun benar, persekitaran dan masa mempengaruhi perubahan itu, komponen utama adalah perubahan diri sendiri, kuasa minda dan cara kita berfikir. 




Belajarlah daripada PLHIV...................



Agak membimbangkan bila mana membaca artikel bertajuk "Impact of age at marriage and migration on HIV and AIDS epidemics in Japan" . Walupun ianya berlaku di Jepun, tetapi ambillah ibrah daripada penyelidikan di sana. Ianya satu signal bagi mereka yang berfikir. Kes PLHIV dan HIV meningkat saban tahun dan ianya banyak disumbangkan oleh mereka yang melakukan seks sesama jenis. Pada tahun 2007, terdapat 33.2 juta orang yang hidup bersama dengan HIV. Setiap hari lebih daripada 6800 orang dijangkiti virus ini. Mungkin article ini tidak dapat diakses oleh semua orang kerana ianya bahan akademik (mesti langgan dahulu). Cuba download dulu menggunakan link dibawah.


http://www.ziddu.com/download/19329576/atmarriageandmigrationonHIVandAIDSepidemicsinJapan.pdf.html


Friday, 4 May 2012

Antara Nasib, Pilihan & Takdir (Bahagian 2)


................. Sambungan daripada Bahagian 1

5) Danial boleh dikatakan seorang yang mempunyai rupa paras yang agak kacak dan dia sering menjadi kegilaan ramai perempuan sejak dari sekolah menengah lagi. Bila melanjutkan pelajarannya ke salah sebuah kolej swata, lebih ramai awek-awek yang cuba mengusha dan berkawan rapat dengannya. Oleh itu, dia sering bertukar-tukar awek. Ada yang berjaya kekal selama 2 bulan, 5 bulan dan sebagainya. Daniel memang seorang yang sukakan perempuan. Bila dia melihat seorang perempuan yang lalu, tambahan lagi perempuan itu cantik dan memang 'taste' dia, jiwanya mula menjadi kacau. Seringkali dia terbayang dalam fikirannya memeluk wanita tersebut dan melakukan hubungan seksual dengan wanita itu. Daniel selalu  'mencuba' dahulu awek-aweknya kerana dia enjoy dan lagipun dia masih muda. Setiap hari, dia mencari rakan perempuan yang berbeza-beza untuk chatting dan semuanya berakhir dengan mengeluarkan air mani di depan webcam. Pada hujung minggu pula, dia selalu melakukan temujanji dengan wanita yang berbeza-beza dan setiap perjumpaan berakhir dengan aktiviti seks. Danial tidak mempunyai masalah untuk memujuk wanita-wanita yang ditemuainya di laman sosial kerana Danial mempunyai wajah yang agak tampan yang membuatkan perempuan mudah 'cair'. Tambahan pula, Danial pandai memujuk dan mengeluarkan ayat yang manis-manis di depan perempuan. Ramai perempuan yang telah terlanjur denganya tatapi tidak seorang pun pada ketika ini yang mengandung kerana dia menggunakan kondom. Kadang-kadang pula, nafsunya hanya dilepaskan ditandas-tandas ketika 'line clear'. Dia berasa tidak bersalah untuk melakukan perhubungan sedemikian kerana padanya itu bukan satu dosa. Tambahan pula ia tidak membuatkan perempuan tersebut mengandung.

Pertimbangkan juga situasi sampingan (tiada kaitan dengan naluri seksual) lain dalam kehidupan kita seperti berikut:

6) Rumah Mak Cik Temah terbakar kerana dia terlupa menutup dapur gas yang digunakan selepas menggoreng ikan.

7) Rohani dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2012 kerana dia berusaha siang dan malam bersengkang mata belajar selain selalu berjumpa dengan gurunya bila dia menghadapi masalah dalam menjawab soalan latih tubi.

8) Zainal dilahirkan dalam keadaan buta dan cacat kedua-dua belah kakinya. Namun begitu dia tekad untuk belajar dan meneruskan kehidupan seperti orang normal yang lain. Berkat usahanya, dia boleh membaca dan menghafaz Al-Quran walupun buta dan tidak pernah melihat bagaimana tulisan Al-Quran.

9) Nazri mencuba pelbagai-bagai jenis pekerjaan kerana dia mahu menjadi jutawan. Tetapi sehingga kita, dia belum bergelar jutawan.

10) Ah Long memenangi RM Sejuta ringgit setelah memasuki program realiti RM 1 Juta Money Drop dan selepas seminggu, dia mendapat RM 1 juta lagi selepas memenangi  hadiah pertama cabutan TOTO 4D.

Jadi.... apa sebenarnya yang membentuk naluri seksual kita, nasib, pilihan atau takdir?

Sebenarnya, dalam hidup kita hanya ada 2 perkara sahaja. Maksudnya terjadinya sesuatu kejadian atau peristiwa adalah disebabkan oleh pilhan kita sendiri dan disebabkan oleh takdir Allah. Tiada istilah nasib, tapi pada relaitinya kita selalu menyalahkan nasib. Kalau semuanya nasib, maknanya kita salahkan pada takdir sebab takdir yang membuatkan nasib kita jadi begitu. Kita jadi jahat dan kita salahkan nasib sebab nasib kita yang jadikan kita jahat?. Tapi sebenarnya kita yang pilih untuk jadi jahat.

Jika ditanya pada golongan naluri songsang, adakah mereka gembira dengan naluri tersebut dan jika diberi satu keajaiban, mahukah mereka menjadi normal?..... sudah pasti jawapannya mereka tak gembira dengan naluri itu dan jika boleh membuat permintaan kepada dewa naga selepas 7 biji dragon ball dikumpulkan, aku rasa golongan naluri songsang ini akan minta dihapuskan dan dilenyapkan perasaan songsang mereka.

Kalau mengikut cerita sampingan di atas, Rumah Mak Cik Temah tak kan terbakar jika dia menutup gas selepas digunakan. Kebakaran berlaku disebabkan oleh kecuaiannya sendiri. Rohani berjaya kerana dia membuat pilihan untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Zainal, seorang yang kurang upaya boleh membuat sesuatu yang pada kita mustahil kerana dia mempunyai kekuatan diri yang awesome dan memilih untuk menjadi orang berilmu. Cerita Ah Long, seolah-olah ditentukan oleh nasib. Tapi sebenarnya.... dia menjadi kaya kerana dia membuat pilihan untuk masak program tu.. dan mencuba banyak kali untuk menang no ekor (bukan tujuan mempromosikan no ekor kerana berjudi dan bertenung nasib haram dalam Islam).

Hakibatnya, semua usaha mereka adalah satu PILIHAN dan pilihan yang dibuat oleh mereka menatijahkan TAKDIR oleh Tuhan.

Kita kembali kepada cerita 1-5 (cerita naluri manusia). Kita menjadi seorang yang bernaluri songsang ini bukan atas kehendak kita kerana dalam sesetengah kes, ianya hadir tanpa kita tahu dan tanpa kita sedari perasaan abnormal itu ada dalam diri kita.  Dalam sesetengah kes, orientasi naluri seksual seseorang berubah setelah terjadi sesuatu peristiwa hitam dalam dirinya. Itu semua takdir Allah. Kita pergi kepada persoalan pokok, adakah naluri songsang satu penyakit ?. Penyakit seperti penyakit jantung berlubang. Penyakit seperti penyakit leukimia, atau penyakit seperti penyakit kencing manis. Ada sebahagian penyakit berlaku disebabkan oleh faktor pemakanan dan ada disebabkan oleh genetik, dan ada disebabkan oleh keabnomalan semasa peringkat kehamilan.

Dalam kes naluri songsang ini, aku rasakan ianya adalah satu penyakit yang telah ditakdirkan Allah. Allah memilih manusia-manusia tertentu untuk diuji. Usah persoalkan kenapa kita dipilih oleh-Nya kerana Dia yang Maha Mengetahui akan atas apa yang berlaku. Mungkin ini caranya Dia menguji kita supaya kita sentiasa dekat dengan Dia. Dengan ujian ini sahaja menjadi asbab kita kenal Allah. Bila mana kita diuji dengan penyakit ini, yang mengemudi atau membuat pilihan adalah diri kita sendiri. Jika kita mempunyai kencing manis, dan masih mengambil makanan yang berlebihan gula, itu risiko yang kita tanggung sendiri kalau kaki terpaksa dipotong atau terpaksa menyuntik insulin setiap hari.

Dan kalau kita bernaluri songsang, itu pilihan kita sendiri sama ada nak 'meraikan' perasaan itu atau 'menafikan' perasaan itu mengikut panduan tertentu. Kita memilih jalannya... dan natijahnya kita yang tanggung sendiri. Untuk kes 5, cuba kita bayangkan Danial adalah seorang gay dan dia melakukan aktiviti seperti dalam cerita itu (dengan lelaki)......, isunya naluri songsang bukan penyebab kepada ketidakboleh kawalan naluri seksual.... tapi disebabkan hawa nafsu. Hawa nafsu dipandu oleh iman dan iman kita yang membuat pilihan. Sebenarnya tiada beza seorang yang 'staright' yang sukakan perempuan dan seorang gay yang sukakan lelaki. Sebab method pengawalan nafsunya sama.

Semuanya kembali kepada PILIHAN kita sendiri dan kita mengharapkan Allah menatijahkan TAKDIR yang baik dalam kehidupan kita selepas kita membuat PILIHAN itu.





 





Wednesday, 2 May 2012

Antara Nasib, Pilihan & Takdir (Bahagian 1)


Antara nasib, pilihan sendiri atau takdir (qada&qadar) Allah, mana satukah sebenarnya yang mencorakkan naluri kita?. Atau adakah ia gabungan 2 atau lebih elemen-elemen yang membentuk naluri seseorang individu. Isu kecelaruan identiti adalah sesuatu isu yang sensitif dalam masyarakat Melayu dan isu ini juga kurang mendapat perhatian dalam komuniti Islam. Ia adalah isu lapuk sebenarnya tetapi tidak dibincangkan secara serius kerana ia bukanlah sesuatu yang 'normal' dalam masyarakat. Walaupun begitu, sejak akhir-akhir ini, (tahun 90-an dan 2000-an) penyelidik Malaysia sudah mula berani menulis dan mengupas isu ini untuk diterbitkan dalam journal tempatan. Walau pun begitu, penyelidikan berkaitan kecelaruan identiti termasuk dari sudut pisikologi sudah lama dikaji oleh penyelidik barat seawal tahun 60-an sehingga sekarang dan artikel-artikel mereka telah diterbitkan dalam journal antarabangsa.

Salah satu sebab mengapa isu ini kurang dibincangkan adalah kerana naluri songsang dianggap sememangnya dilarang dalam Islam, dianggap  'taboo', menjijikkan dalam adat ketimuran, jijik, memalukan dan seumpamanya. Ditambah pula, apabila isu ini dibawa kepada orang agama, ramai daripada mereka mengambil pendekatan menggunakan bahasa 'menghukum' dan bukannya bahasa 'merawat'. Sedangkan, mereka yang mengadu kepada orang agama lebih mengharapkan bimbingan agama daripada orang yang lebih arif hal-hal agama. Walaupun begitu, stigma orang agama semakin berubah sejak akhir-akhir ini dan sebahagian ustaz mengambil pendirian berhati-hati dalam memberi sesuatu nasihat agar bahasa yang digunakan lebih kepada bahasa 'menasihati' dan memberi alternatif jalan keluar kepada permasalahan ini. Kita sebagai orang Islam tidak sesekali mengiktiraf sebarang kegiatan songsang apatah lagi menyokongnya. Tetapi, kita kena ingat naluri songsang ini ada dalam masyarakat dan kita mesti mengakui kewujudan mereka dalam kehidupan seharian kita. Orang yang mengalami naluri songsang ini ada dimana-mana di seluruh dunia, tidak mengira bangsa, warna kulit, bahasa, budaya, agama, dan keturunan. Kita tidak boleh menutup sebelah mata sahaja kerana golongan ini mungkin sahaja adik beradik kita, saudara-mara kita, anak-anak kita atau kawan-kawan kita. Tanpa kita sedari kita sebenarnya sedang berhubung dengan mereka, makan dengan mereka malah tidur bersama-sama mereka.

Apa sebenarnya yang membuatkan seseorang itu menjadi gay sebenarnya? Apa punca dia menjadi lesbian? Apa penyebab dia melakukan pembedahan jantina?

Soalan-soalan ini sering bermain dalam fikiran kita untuk mencari jawapan sebenar. Kenapa bersungguh-sungguh perlu mencari penyebabnya? Jawapannya, kerana ingin mencari penyelesaiannya. Menyelesaikan masalah perlu berdasarkan punca masalah. Cuba fahami keadaan dan kisah mereka supaya kita benar-benar faham konflik yang sedang meraka hadapi. Pertimbangkan situasi dan keadaan berikut:

1) Halimah atau nama dalam surat beranaknya Halim bin Abu melakukan pembedahan pertukaran jantina di Thailand daripada lelaki kepada perempuan. Menurutnya, sejak dari kecil, dia berperwatakan sebagai seorang perempuan. Dia sangat suka warna pink, selalu berkawan rapat dengan kanak-kanak perempuan dan selalu main masak-masak dengan kanak-kanak perempuan. Tambahan pula, Halim memang dikurniakan bakat memasak dan sering membantu ibunya di dapur.  Ibunya menginginkan anak perempuan kerana 2 orang anak yang dilahirkan sebelumnya adalah lelaki. Ibunya tidak berkata apa-apa sewaktu dia mengenakan lipstik jenama Marbellin dan selalu bermain dengan alat make-up ibunya kerana ibunya menganggap ia adalah perbuatan normal bagi kanak-kanak. Apabila menginjak dewasa dan berjaya memasuki universiti ditambah pula dengan ramai golongan lelaki lembut di universiti, dia mula berani memakai pakaian perempuan bila mana menghadiri kuliah. Halim sering menganggap dirinya sebagai seorang perempuan walaupun pada hakikatnya dia adalah seorang lelaki. Walaupun begitu, Halim menjaga solatnya dengan bersembahyang lima waktu tetapi dengan mengenakan telekung yang dibeli di Jalan Masjid India.

2) Zul dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Namun begitu, dia merasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya sejak dari kecil. Dia perasan dalam dirinya ada sesuatu perasaan yang luar biasa iaitu dia lebih meminati guru-guru lelaki sama ada di sekolah rendah atau menengah. Di rumah pula, jantungnya sering berdebar-debar dan berdegup dengan kencang apabila melihat abang-abangnya tidur hanya dalam keadaan berseluar pendek. Maklumlah, keluarganya besar dan terpaksa berkongsi bilik. Tambah pula, bila musim perayaan, semua pulang ke kampung dan ada adik beradik lain terpaksa beralah untuk tidur di ruang tamu. Zul merasakan suatu perasaan yang amat luar biasa itu hadir sejak dia masih kecil dan kadang-kadang Zul selalu menangis sendirian memikirkan nalurinya yang tidak normal. Zul takut dengan dosa yang lebih besar kerana dia mendapat didikan agama yang kukuh sejak kecil apatah lagi dia merupakan anak harapan keluarganya. Selepas tamat belajar di salah sebuah universiti tika umurnya 23 tahun, Zul merasakan bahawa perubahan nalurinya semakin ketara. Dia merasakan semakin sukar mengawal nafsunya. Berbeza benar kekuatan nafsunya ketika dia di sekolah menengah dengan selepas universiti. Tambah pula, dia menyewa rumah bersama-sama dengan kawan lelakinya di sekitar KL dan bekerja di sebuah firma kewangan. Zul berada dalam dilema antara memikirkan keinginan nafsunya dan ketaatan kepada agama.

3) Iskandar seorang budak yang pintar dan dia berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR. Dia kemudiannya diterima untuk ke sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia. Iskandar bukan sahaja terlibat aktif dalam sukan bola sepak dan sering mewakili sekolahnya, dia juga boleh dikatakan mempunyai rupa paras yang hensem atau istilahnya 'jambu'. Oleh itu, seorang senior disekolahnya telah menjadikan dia adik angkat. Iskandar setuju kerana dia adalah anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan dia ingin merasakan  bagaimana kasih-sayang seorang abang. Tanpa Iskandar sedari, abang angkatnya mempunyai niat yang buruk padanya. Pada suatu malam, dia diminta untuk ke bilik abang angkatnya dan dia diperlakukan dengan perkara yang tidak elok oleh abang angkatnya. Dia tidak merelakan pada asalnya, tetapi perlakuan tersebut berulang banyak kali dan dia mula ketagih dengan perbuatan tersebut. Bila dia memasuki kolej, barulah dia sedar apa sebenarnya yang telah berlaku dahulu dan pada ketika ini, dia telah terjerumus lebih teruk dalam kelompok tersebut.

4) Asyraf bercinta dengan teman wanitanya sejak 3 tahun yang lalu. Tambahan pula, aweknya itu adalah kenalan satu fakulti ketika dia membuat degree dahulu. Dia mempunyai chemistry yang cukup hebat dengan teman wanitanya kerana dia melakukan banyak usaha untuk mengusha dan memikat wanita tersebut. Asyraf menyangka hubungannya dengan teman wanitanya membawa ke jingjang pelamin, tetapi rupa-rupanya putus ditengah jalan. Wanita itu meninggalkannya tanpa sebab munasabah dan mencari alasan untuk berpisah dengannya. Sejak dari itu asyraf mengalami kemurungan dan selalu menangis sendirian. Dia mencari rakan di laman sosial dan akhirnya dia berchatting dengan seorang lelaki yang sangat memahami masalahnya. Dorongan dan kata semangat rakannya itu memberikan sinar harapan baru dalam hidupnya. Dia merasakan sangat dihargai, dan kehidupannya kembali ceria. Dia mula sedar, bekas teman wanitanya bukanlah segala-galanya, tapi lelaki juga boleh memberikan sinar baru dalam hidupnya. Sejak dari itu dia mula berdemdam dengan wanita dan mula serius dengan lelaki. Padanya, lelaki lebih romantik dan lebih memahami jiwa jantannya. Akhirnya dia menjalinkan perhubungan yang lebih serius dengan seorang lelaki.

.......................bersambung