Antara nasib, pilihan sendiri atau takdir (qada&qadar) Allah, mana satukah sebenarnya yang mencorakkan naluri kita?. Atau adakah ia gabungan 2 atau lebih elemen-elemen yang membentuk naluri seseorang individu. Isu kecelaruan identiti adalah sesuatu isu yang sensitif dalam masyarakat Melayu dan isu ini juga kurang mendapat perhatian dalam komuniti Islam. Ia adalah isu lapuk sebenarnya tetapi tidak dibincangkan secara serius kerana ia bukanlah sesuatu yang 'normal' dalam masyarakat. Walaupun begitu, sejak akhir-akhir ini, (tahun 90-an dan 2000-an) penyelidik Malaysia sudah mula berani menulis dan mengupas isu ini untuk diterbitkan dalam journal tempatan. Walau pun begitu, penyelidikan berkaitan kecelaruan identiti termasuk dari sudut pisikologi sudah lama dikaji oleh penyelidik barat seawal tahun 60-an sehingga sekarang dan artikel-artikel mereka telah diterbitkan dalam journal antarabangsa.
Salah satu sebab mengapa isu ini kurang dibincangkan adalah kerana naluri songsang dianggap sememangnya dilarang dalam Islam, dianggap 'taboo', menjijikkan dalam adat ketimuran, jijik, memalukan dan seumpamanya. Ditambah pula, apabila isu ini dibawa kepada orang agama, ramai daripada mereka mengambil pendekatan menggunakan bahasa 'menghukum' dan bukannya bahasa 'merawat'. Sedangkan, mereka yang mengadu kepada orang agama lebih mengharapkan bimbingan agama daripada orang yang lebih arif hal-hal agama. Walaupun begitu, stigma orang agama semakin berubah sejak akhir-akhir ini dan sebahagian ustaz mengambil pendirian berhati-hati dalam memberi sesuatu nasihat agar bahasa yang digunakan lebih kepada bahasa 'menasihati' dan memberi alternatif jalan keluar kepada permasalahan ini. Kita sebagai orang Islam tidak sesekali mengiktiraf sebarang kegiatan songsang apatah lagi menyokongnya. Tetapi, kita kena ingat naluri songsang ini ada dalam masyarakat dan kita mesti mengakui kewujudan mereka dalam kehidupan seharian kita. Orang yang mengalami naluri songsang ini ada dimana-mana di seluruh dunia, tidak mengira bangsa, warna kulit, bahasa, budaya, agama, dan keturunan. Kita tidak boleh menutup sebelah mata sahaja kerana golongan ini mungkin sahaja adik beradik kita, saudara-mara kita, anak-anak kita atau kawan-kawan kita. Tanpa kita sedari kita sebenarnya sedang berhubung dengan mereka, makan dengan mereka malah tidur bersama-sama mereka.
Apa sebenarnya yang membuatkan seseorang itu menjadi gay sebenarnya? Apa punca dia menjadi lesbian? Apa penyebab dia melakukan pembedahan jantina?
Soalan-soalan ini sering bermain dalam fikiran kita untuk mencari jawapan sebenar. Kenapa bersungguh-sungguh perlu mencari penyebabnya? Jawapannya, kerana ingin mencari penyelesaiannya. Menyelesaikan masalah perlu berdasarkan punca masalah. Cuba fahami keadaan dan kisah mereka supaya kita benar-benar faham konflik yang sedang meraka hadapi. Pertimbangkan situasi dan keadaan berikut:
1) Halimah atau nama dalam surat beranaknya Halim bin Abu melakukan pembedahan pertukaran jantina di Thailand daripada lelaki kepada perempuan. Menurutnya, sejak dari kecil, dia berperwatakan sebagai seorang perempuan. Dia sangat suka warna pink, selalu berkawan rapat dengan kanak-kanak perempuan dan selalu main masak-masak dengan kanak-kanak perempuan. Tambahan pula, Halim memang dikurniakan bakat memasak dan sering membantu ibunya di dapur. Ibunya menginginkan anak perempuan kerana 2 orang anak yang dilahirkan sebelumnya adalah lelaki. Ibunya tidak berkata apa-apa sewaktu dia mengenakan lipstik jenama Marbellin dan selalu bermain dengan alat make-up ibunya kerana ibunya menganggap ia adalah perbuatan normal bagi kanak-kanak. Apabila menginjak dewasa dan berjaya memasuki universiti ditambah pula dengan ramai golongan lelaki lembut di universiti, dia mula berani memakai pakaian perempuan bila mana menghadiri kuliah. Halim sering menganggap dirinya sebagai seorang perempuan walaupun pada hakikatnya dia adalah seorang lelaki. Walaupun begitu, Halim menjaga solatnya dengan bersembahyang lima waktu tetapi dengan mengenakan telekung yang dibeli di Jalan Masjid India.
2) Zul dilahirkan dalam keluarga yang agak besar. Namun begitu, dia merasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya sejak dari kecil. Dia perasan dalam dirinya ada sesuatu perasaan yang luar biasa iaitu dia lebih meminati guru-guru lelaki sama ada di sekolah rendah atau menengah. Di rumah pula, jantungnya sering berdebar-debar dan berdegup dengan kencang apabila melihat abang-abangnya tidur hanya dalam keadaan berseluar pendek. Maklumlah, keluarganya besar dan terpaksa berkongsi bilik. Tambah pula, bila musim perayaan, semua pulang ke kampung dan ada adik beradik lain terpaksa beralah untuk tidur di ruang tamu. Zul merasakan suatu perasaan yang amat luar biasa itu hadir sejak dia masih kecil dan kadang-kadang Zul selalu menangis sendirian memikirkan nalurinya yang tidak normal. Zul takut dengan dosa yang lebih besar kerana dia mendapat didikan agama yang kukuh sejak kecil apatah lagi dia merupakan anak harapan keluarganya. Selepas tamat belajar di salah sebuah universiti tika umurnya 23 tahun, Zul merasakan bahawa perubahan nalurinya semakin ketara. Dia merasakan semakin sukar mengawal nafsunya. Berbeza benar kekuatan nafsunya ketika dia di sekolah menengah dengan selepas universiti. Tambah pula, dia menyewa rumah bersama-sama dengan kawan lelakinya di sekitar KL dan bekerja di sebuah firma kewangan. Zul berada dalam dilema antara memikirkan keinginan nafsunya dan ketaatan kepada agama.
3) Iskandar seorang budak yang pintar dan dia berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR. Dia kemudiannya diterima untuk ke sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia. Iskandar bukan sahaja terlibat aktif dalam sukan bola sepak dan sering mewakili sekolahnya, dia juga boleh dikatakan mempunyai rupa paras yang hensem atau istilahnya 'jambu'. Oleh itu, seorang senior disekolahnya telah menjadikan dia adik angkat. Iskandar setuju kerana dia adalah anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan dia ingin merasakan bagaimana kasih-sayang seorang abang. Tanpa Iskandar sedari, abang angkatnya mempunyai niat yang buruk padanya. Pada suatu malam, dia diminta untuk ke bilik abang angkatnya dan dia diperlakukan dengan perkara yang tidak elok oleh abang angkatnya. Dia tidak merelakan pada asalnya, tetapi perlakuan tersebut berulang banyak kali dan dia mula ketagih dengan perbuatan tersebut. Bila dia memasuki kolej, barulah dia sedar apa sebenarnya yang telah berlaku dahulu dan pada ketika ini, dia telah terjerumus lebih teruk dalam kelompok tersebut.
4) Asyraf bercinta dengan teman wanitanya sejak 3 tahun yang lalu. Tambahan pula, aweknya itu adalah kenalan satu fakulti ketika dia membuat degree dahulu. Dia mempunyai chemistry yang cukup hebat dengan teman wanitanya kerana dia melakukan banyak usaha untuk mengusha dan memikat wanita tersebut. Asyraf menyangka hubungannya dengan teman wanitanya membawa ke jingjang pelamin, tetapi rupa-rupanya putus ditengah jalan. Wanita itu meninggalkannya tanpa sebab munasabah dan mencari alasan untuk berpisah dengannya. Sejak dari itu asyraf mengalami kemurungan dan selalu menangis sendirian. Dia mencari rakan di laman sosial dan akhirnya dia berchatting dengan seorang lelaki yang sangat memahami masalahnya. Dorongan dan kata semangat rakannya itu memberikan sinar harapan baru dalam hidupnya. Dia merasakan sangat dihargai, dan kehidupannya kembali ceria. Dia mula sedar, bekas teman wanitanya bukanlah segala-galanya, tapi lelaki juga boleh memberikan sinar baru dalam hidupnya. Sejak dari itu dia mula berdemdam dengan wanita dan mula serius dengan lelaki. Padanya, lelaki lebih romantik dan lebih memahami jiwa jantannya. Akhirnya dia menjalinkan perhubungan yang lebih serius dengan seorang lelaki.
.......................bersambung
kisah kedua, begitulah aku ketika kecil dahulu... :(
ReplyDeletepada pendapat aku plu ni ada dua jenis.. yg 'naturally' plu dan jd plu sbb faktor prsekitaran dan pengalaman.. tp aku consider diri aku sbagai 'naturally' plu..
ReplyDelete