Petikan daripada: http://saifulislam.com
Kali pertama saya mendengar nama Irshad Manji, kira-kira 10 tahun yang lalu.
Nama itu tenggelam, sebagaimana datang dan perginya nama-nama seperti Astora Jabat dalam lingkungan domestik di sini.
Apabila Irshad Manji menjengah Malaysia, masyarakat kecoh. Saya didesak untuk memberikan pendapat mengenainya, tetapi saya enggan berbicara mengenai apa yang saya tidak pasti. Ia menyalahi sifat adil dalam beragama.
Menyedari akan besarnya idea yang dibawa oleh beliau, saya memaksa diri membaca buku THE TROUBLE WITH ISLAM TODAY, bagi memahami apakah yang melahirkan seorang ‘sarjana’ Muslim Refusenik bernama Irshad Manji. Saya juga mengambil peluang membaca buku ALLAH, LIBERTY AND LOVE yang dimuat turun secara percuma di internet.
Pendapat-pendapat Irshad Manji menyalahi segala usul Aqidah saya. Pendapatnya meruntuhkan banyak struktur utama beragama, walaupun mungkin tujuan asalnya adalah untuk meruntuhkan struktur institusi agama.
Sebagai Muslim saya menolak kepercayaan Irshad Manji.
Sebagai Muslim juga, saya mahu tahu mengapa kepercayaannya begitu?
Catatan ini bukanlah pendapat muktamad saya mengenai beliau dan ideanya. Ia hanya nota untuk diri saya menjelaskan apa yang berada di fikiran dan masih terbuka kepada kesimpulan-kesimpulan yang seterusnya.
MENETAPKAN SISI PANDANG
Bagi sesetengah kita, isu Irshad Manji hanyalah satu lagi intellectual discourse untuk dijadikan hidangan debat yang menjadi kegemaran kita. Tetapi saya melihat isu beliau dari sudut pandang seorang suami, bapa, ustaz, guru dan pemimpin. Ia mengkehendaki diri saya menilai perbuatan saya sebelum, semasa dan selepas ini, apakah ada tindak tanduk yang menyumbang kepada lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.
Pihak berwajib menjalankan SOP mereka pada mengharamkan buku-buku Irshad Manji. Tetapi dengan ebook, pdf dan dunia internet yang tidak terbatas, segalanya tentang Irshad Manji kekal berada di hujung jari.
Tanggungjawab memahami masalah dan menghadapinya melalui saluran pendidikan, tidak dapat saya abaikan.
Saya mungkin berbunyi tidak cukup sarjana melalui sisi pandang sebegini, tetapi matlamat saya adalah mencari keselamatan Dunia dan Akhirat, bukan mengagungkan analytic philosophy bahawa membuktikan Irshad Manji salah, menjadikan saya betul.
SISI EMOSIONAL
Apabila saya mengajak rakan-rakan untuk meninjau sisi Male Chauvinism dalam memahami mesej Irshad Manji, ia bukan alasan atau satu format escapism.
Satu amalan biasa apabila kita membaca pemikiran seseorang, kita akan membaca biografinya. Sama ada dia itu Barrack Obama, Adam Smith, Einstein, Muhammad bin Abdullah mahu pun Irshad Manji. Tujuan kita membaca biografi, adalah untuk memahami, sejauh manakahpengalaman hidup seseorang mempengaruhi kecenderungannya dalam memahami sesuatu.
Teks adalah sesuatu.
Konteks adalah sesuatu.
Kefahaman adalah sesuatu.
Menghubungkan teks dengan konteks untuk menghasilkan kefahaman, banyak dipengaruhi oleh pengalaman sebagai salah satu input dirinya.
Apabila saya menyebut Irshad Manji sebagai ‘mangsa’ Male Chauvinism, ia adalah kerana empati saya yang mahu Irshad Manji lebih difahami oleh kita semua. Lihat sahaja komen-komen di Malaysiakini.Com. Ada yang memaki hamun, mempertikaikan dia memakai tudung atau tidak, malah mengejeknya dengan pelbagai gelaran. Malah ada yang berpendapat tidak perlu berhujah langsung kerana Irshad Manji tidak mempunyai sebarang nilai. Komen-komen itu tidak mengukuhkan Islam malah menyebabkan golongan Religious Scepticists semakin yakin bahawa ‘structured doubt’ mereka itu berasas.
Pendekatan Irshad Manji, mempunyai unsur ‘Tajdid’ iaitu mahu membebaskan Muslim daripada Institutionalized Islam. Tetapi versi yang dibawanya amat keterlaluan. Di dalam Islam, apabila ada unsur keterlaluan, biasanya di sebalik rasional ada emosional. Maka kalau rasional dibahas tanpa mengambil kira unsur emosional, kita akan berpusing-pusing pada presenting problem tanpa menyentuh langsung real problem.
‘MANGSA KELELAKIAN LELAKI’
Selalunya, seseorang yang berpemikiran seperti Irshad Manji ini mempunyai pengalaman pahit dengan lelaki. Sama ada lelaki itu adalah bapa yang abusive, suami yang mengecewakan, ustaz-ustaz yang menyakiti, hinggalah kepada ulama’ tafsir yang disyaki ‘gender bias’.
Ia mempengaruhi paradigma hidupnya hingga semua yang ditentangnya mempunyai unsur lelaki.
Sama ada ulama lelaki, ustaz lelaki, musuh lelaki, kekasih lelaki… kelelakian itu wujud secara subliminal di belakang mindanya.
Agama kelihatan hodoh di matanya kerana unsur male chauvinism.
Male Chauvinism adalah satu fitnah besar ke atas umat Islam kerana ia melahirkan manusia-manusia seperti Irshad Manji. Saya mengambil kes Irshad Manji ini sebagai peringatan kepada diri agar mempunyai empati yang lebih baik semasa berbicara tentang tanggungjawab-tanggungjawab beragama kepada bermasyarakat. Adakalanya kita boleh terlupa bahawa kita sedang berbicara dalam bahasa seorang LELAKI beragama Islam dan bukannya MUSLIM.
Orang Religious Scepticist seperti ini, hujah INTELEKTUAL sukar dibalas dengan INTELEKTUAL. Ia hanya menambah ego. INTELEKTUAL beliau perlu dibalas dengan EMOTIONAL.
“Are you a happy human?”
Soalan untuk Irshad Manji jawab sebelum tidur di atas katilnya sendiri.
SENJATA MAKAN TUAN
Saranan saya pada mengajak masyarakat mempertimbangkan latar belakang sosial dan emosional Irshad Manji, adalah agar pendapatnya tidak ditolak secara semberono. Namun Si Wartawan Malaysiakini ‘menuduh’ saya dengan tuduhan yang bukan-bukan walaupun dia sendiri mendakwa dirinya hanya melaporkan hasil temuramah, tanpa sebarang tanggungjawab untuk membela atau menentang Irshad Manji.
PRE CONCEIVED IDEA
Mungkin golongan ‘Muslim Progresif’ begitu yakin dengan pre conceived idea mereka bahawa lebai kampung seperti saya ini tipikal.
Mereka mungkin (sekali lagi mungkin) tidak sedar bahawa ramai sahaja lebai kampung ini yang membaca buku falsafah, cakap omputeh dan selesa makan Ribeye Steak. Kepala lebai kampung saya ini mungkin berbalut ‘tuala’, tetapi progresifnya minda tidak dijamin oleh kepala yang tidak bersarung!
Mereka itu sahaja yang mungkin belum habis-habis mengaji Muqaddam Muslim Weltanschauung!
Bukan menyombong, tetapi sukar merendah diri di ‘medan perang’.
IRSHAD MANJI MUNGKIN TIDAK PENTING
Bagi sesetengah kita, nama Irshad Manji mungkin hanya salah satu nama yang keluar entah dari mana, singgah ke telinga, yang boleh ‘dibuat bodoh’ sahaja.
Tetapi Irshad Manji adalah suara besar di pesada antarabangsa.
Dia mungkin tidak penting.
Tetapi idea yang dibawanya adalah realiti.
Idea yang mencabar structured hypocrisy (al-nifaaq al-munazzam) dalam kehidupan beragama kita.
Dan jika itu pun masih tidak mampu menjadi alasan mengapa kita perlu mengambil tahu akan hal ini, cukup saya katakan, di Mont Kiara, Subang, hatta Taiping, Kemaman dan Gua Musang pun boleh ada ramai Irshad Manji tanpa hujah dan suara!
Sesungguhnya, jika saya tidak menyayangi isteri dan anak-anak, mengherdik wanita dalam lingkungan hidup saya, berlawak lucah menjadikan maruah wanita sebagai senda gurau perbualan dan ceramah, saya mesti bertanggungjawab terhadap lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.
MERAWAT MALE CHAUVINISM
Dalam pada itu, saya rasa bersyukur dan gembira kerana kebelakangan ini, para penceramah kita semakin selesa bercerita tentang isteri dan anak-anak secara sopan dan penuh nada positif, iaitu sesuatu yang amat jarang berlaku suatu ketika dahulu.
Ini akan sedikit demi sedikit mengembalikan kita kepada Sunnah Baginda SAW yang sangat ‘family-man’ dalam kepimpinannya, malah mencegah male chauvinism yang menghasilkan Islamo-tribalis yang tidak habis-habis dirungutkan oleh Irshad Manji, merujuk kepada budaya sesetengah kaum umat Islam yang menyembunyikan selain lelaki daripada suasana beragama awam.
Saya doakan agar golongan ‘Islamik’ bermulut cabul tidak diuji memiliki anak seperti Irshad Manji kerana jika ia lahir daripada keluarga mereka sendiri, baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah.
Ittaqullah!
Petikan asal: http://saifulislam.com/?p=11310#more-11310
Jangan agungkan manusia ini...
ReplyDelete