Monday, 14 May 2012

Petunjuk Sebuah Isthikarah

(mungkin betul....mungkin tidak pepatah teknologi ni. [klik untuk tumbesaran])




****************Harapan Bagi Sebuah Kebahagiaan**********************

Aku pernah solat isthikarah agar Allah menunjukkan jalan-Nya untuk aku. Mungkin salah satu jalan-jalan alternatif untuk keluar daripada kecelaruan identiti yang lebih kronik. Setiap malam aku berdoa dan bersolat isthikarah. Kebetulan, pada bulan tersebut ada sebuah konferens di ibu negara. Aku akan membentangkan satu kertas kerja penyelidikan dalam salah satu slot di konferens tersebut. Aku berharap agar di konferens tersebut, aku dapat berkenalan dengan seseorang yang boleh aku jadikan peneman hidup aku. Aku mengharapkan agar dipertemukan dengan seseorang yang aku telah kenali dahulu dan lagi baik jika ianya bekas salah satu persatuan yang aku pernah join ketika di kampus.

Pada hari konferens tersebut, aku begitu teruja kerana dapat berjumpa semula dengan kenalan-kenalan lama yang terpisah. Disamping itu dapat juga berjumpa dengan rakan-rakan postgraduate daripada universiti-universiti lain termasuk pelajar-pelajar asing. Aku berjumpa semula dengan kawan-kawan lama aku ketika di sekolah menengah. Peluang yang ada aku gunakan untuk berbual dan bertanya khabar perkembangan terkini. Walaupun pada hari raya setiap tahun, kami bertemu dan berjumpa, tetapi bertemu di tempat yang jauh daripada negeri asal, ianya menjadi begitu teruja.

Aku juga berjumpa dengan rakan-rakan yang menyambung pelajaran ke universiti-universiti yang lain walaupun ketika buat degree dulu adalah daripada universiti yang sama. Ditakdirkan Allah, aku telah berjumpa dengan seorang wanita daripada universiti aku yang sama, lagipun kami memang berada dalam satu persatuan yang sama ketika di universiti dahulu. Aku kerap bekerja bersama-samanya untuk aktiviti persatuan malah dia juga satu negeri dengan aku. Hati aku begitu kuat merasakan bahawa Allah telah memberikan satu petanda untuk aku mendekati dia kerana aku yakin itu adalah salah satu petunjuk hasil daripada sebuah istikharah. Ini kerana hanya dia yang paling menepati ciri-ciri yang aku maksudkan sebelum ini. Di hari pertama, kami sempat berbual seketika selepas waktu makan dan selepas itu, masing-masing berada dalam bilik pembentangan.


*************Mengapproach Si Dia*******************

Di hari terakhir konferens, kami tidak dapat berjumpa kerana slot pembentangan terlalu banyak dan masing-masing sibuk dengan pembentangan masing-masing. Konferens itu berlangsung selama dua hari dan aku membentangkan kertas kerja aku pada hari kedua. Agak memenatkan kerana sesi pembentangan bermula daripada jam 9.00 pagi berterusan dan berakhir pada jam 6.00 petang. Setibanya aku dirumah, aku mula meneliti nombor-nombor telefon yang aku simpan dan mencari-cari nama si dia. Akhirnya aku terjumpa kerana sebelum ini pun aku pernah bersms dengannya atas urusan persatuan. Aku bertanya khabar dan dia memohon maaf kerana tidak dapat berjumpa sewaktu di akhir konferens kerana kumpulan mereka harus segera bertolak ke kampus mereka nun jauh di sana.

Terus-terang, aku sms padanya dalam nada umum sama ada telah berpunya atau pun tidak. Dia membalasnya dengan menyatakan masih belum ada perhubungan. Aku memintanya alamat email agar aku boleh menerangkan dengan lebih lanjut kerana pada aku agak sukar menerangkannya melalui SMS. Aku menyatakan hasrat hati padanya. Beberapa hari kemudian, dia membalas email tersebut.

Dalam emailnya, dia seorang yang cukup berterus-terang. Dia mengakui pada dirinya ada kecacatan fizikal yang mungkin katanya aku tidak perasan. Dia begitu jujur dan aku sangat terharu. Dia benar-benar ikhlas untuk perhubungan itu dan sangat mengharap. Aku tahu, bagi seorang wanita, tiada tujuan utama untuk dia berkahwin iaitu bagi mendapatkan sebuah perlindungan. Walaupun benar, ianya untuk memenuhi tuntutan nafsu kedua-dua pihak, aku fikir perempuan lebih mementingkan sebuah perlindungan yang benar-benar selamat dari seorang lelaki bergelar suami. Dia begitu jujur menerangkan masalah dan kelemahannya, tetapi aku diserbu rasa bersalah kerana tidak jujur. Takkan aku nak cerita apa yang aku alami?

Dia menerima segala-galanya apa jua keputusan aku dan dia serahkan sepenuhnya keputusan itu pada aku. Aku membalas emailnya dan memohon agar sama-sama meneruskan solat isthikarah.  Aku kira sudah 3 bulan aku tidak menghubunginya lagi dan dalam masa yang sama aku tetap meneruskan solat isthikarah. Masih mengharapkan hidayah dan petunjuk dari-Nya. Aku buntu dan tak tahu sebenarnya apa perasaan yang sedang membelenggu aku sekarang.


**************Aku Belum Bersedia**************


Dia seorang yang sangat baik selain dia bertudung labuh. Maklumlah kami dalam sebuah persatuan yang berteraskan agama. Pada detik-detik tertentu, aku mula merasakan bahawa aku seolah-olah tidak layak padanya. Aku bertanya pada diri aku betulkah tindakan yang telah aku ambil? (Sebelum ini aku pernah approach seorang budak perempuan juga). Aku takut aku akan menyakitinya. Ketahuilah bahawa bukan niatku untuk merasa ragu dengan sebuah perhubungan ini. Cuma, aku memerlukan masa untuk memperbaiki diri. Aku lelaki yang fikirannya penuh dengan dosa dan 'kotor'. Tapi takkan aku nak menerangkan padanya keadaan diri aku yang sebenar. Aku teringin sangat mempunyai keluarga dan kalau Allah izinkan, aku ingin mempunyai anak secepatnya.

Pada ketika itu, aku mula diselubungi dengan suatu perasaan yang membuatkan aku tidak tenang. Rupa-rupanya aku bagaikan tersentak dan sedar bahawa aku belum bersedia. Belum betul-betul siap. Belum bersedia memikul beban sebagai seorang suami. Bagaimana aku ingin bersama dengannya sedangkan hal peribadi aku sendiri pun belum selesai. Aku perlu mempersiapkan diri untuk ujian lisan thesis dan dalam masa yang sama aku perlu mencari duit untuk menampung kehidupan aku di universiti. Duit tajaan juga telah tamat tempoh dan aku memerlukan sumber kewangan yang lain. Bayak perkara yang tidak dijangka berlaku dan kadang-ladang diluar jangkaan kita. Banyak lagi keutamaan lain yang harus aku tumpukan. Aku mula rasa bersalah terhadap tindakan aku 'merisik' dia dahulu.


Aku rasa, 'beban' yang aku perlu selesaikan sekarang adalah menpunyai kedudukan kewangan dan kerjaya yang stabil. Walaupun aku rasa aku tidak harus memikirkan tentang rezeki, ianya tetap mencetuskan kekacauan dalam kepala kita. Aku tahu Allah akan memberikan rezeki pada setiap makhluknya dan pasangan yang berkahwin sebagaimana Surah An-Nur Ayat 32 dan At-Talak 2-3, tetapi dalam masa yang sama, kita mesti berusaha untuk mengubah nasib kita kerana Allah tidak sesekali akan mengubah nasib hamba-hambanya jika hamba-hamba-Nya malas berusaha. Bukan bermaksud ragu tentang ayat Allah.

Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[An-Nur, 24: 32]

...........Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.  Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
[At-Talak, 65:2-3]

Walaupun betul kita boleh meneruskan sebuah perhubungan dengan batas-batas tertentu, cuma aku rasa ianya tidak bermakna sama sekali. Aku tidak mahu bermain dengan perasaan sendiri dan bermain dengan perasaan orang lain. Cukuplah apa yang aku lalui dalam sesi 'percintaan' pertama dahulu. Aku cuma membayangkan untuk melalui sebuah perkahwinan dengan percintaan berputik selepas akad nikah. Aku rasa tidak perlu untuk bertunang lama, cukup sekadarnya sahaja. Mudah-mudahan aku mendapat wanita dan sebuah perkahwinan yang diberkati Allah. 

Isthikarah itu mesti diteruskan......


3 comments: