Monday 27 February 2012

Beriman & Bertakwakah Aku?

Beriman kepada Allah merupakan rukun iman yang pertama dalam Islam. Ramai yang mendakwa dan mengaku mereka orang beriman dan bertakwa. Tetapi peliknya, mengapa ramai juga orang yang membuat maksiat kepada Allah, membuat kejahatan dan menzalimi orang lain?. Apakah mereka mengaku dan perasan mereka orang beriman dan bertakwa tetapi sebenarnya tidak.
Beriman kepada Allah maknanya kita mengaku bahawa hanya Allah swt sahaja Tuhan yang berhak disembah dan Tuhan yang menguasai alam semesta. Bertakwa pula maknanya kita benar-benar melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah secara total. Bila kita beriman dan bertakwa kepada Allah, bermakna kita menghampiri kedudukan ihsan dalam kehidupan kita. Maknanya bila kita melakukan sesuatu perkara, tindakan kita sentiasa diperhatikan Allah. Seolah-olah kita dapat melihat Allah sedang memerhatikan kita atau setidak-tidaknya, kita merasakan kita sedang dipantau oleh Allah.
Tapi, mengapa apabila kita berseorangan dan orang tidak melihat kita, kita melakukan maksiat? Begitu susah san sukar untuk bermujahadah rupa-rupanya. Bukan satu kerja mudah yang boleh diselesaikan dalam satu hari, bahkan ia bukan usaha seminggu dua atau sebulan dua. Bagaimana mungkin kita ingin berujahadah kalau dalam tempoh sehari dua kita sudah tewas? Apa sebenarnya yang berlaku? Apa kesilapan dalam solat taubat kita? Apa kesilapan dalam solat fardhu kita? Mengapa solat tidak dapat mencegah diri kita dari melakukan perbuatan keji dan mungkar? Mengapa ceramah atau tazkirah yang kita dengar hanya berkesan dan menimbulkan keinsafan dalam diri hanya beberapa jam sahaja? Ikhlas ke amalan kita kepada Allah?
Terlalu banyak persoalan yang tidap dapat dirungkai. Terlalu banyak kekusutan yang membelenggu diri. Ya Allah, jika amalan aku tidak diterima oleh-Mu, kau hadirkan perasaan ikhlas dalam diriku agar aku benar-benar menjadi hamba-Mu yang paling baik. Jika solatku tidak diterima, kau kusyukkanlah solatku agar solatku diterima dan menjadi benteng kepada sifat keji dan mungkar.
Ya Allah, bantulah aku...
Berilah aku kekuatan untuk aku menjadi penghuni syurgamu...
Berikan aku rahmat-Mu...
Berkatilah aku...
Murahkan dan mudahkan rezekiku......

Friday 10 February 2012

Meraih Ganjaran Dosa Berganda

Amalan yang baik akan dibalas dengan ganjaran dan kenikmatan manakala amalan yang jahat atau buruk akan dibalas dengan kesengsaraan dan penderitaan. Itu adalah janji Allah kepada manusia sejak utusan pertama manusia dihantar ke muka bumi.
Dalam bulan Ramadhan, ummat Islam akan melakukan amalan kebaikan yang lebih kerana dalam bulan yang penuh keberkatan tersebut amalan kebaikan akan digandakan. Itu berkaitan dengan pahala, melakukan amal soleh. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa melakukan dosa juga boleh membawa kepada dosa berganda. Kita tak nampak dosa tersebut menjadi berganda kerana pertama, kita menganggap dosa itu adalah remeh. Kedua, dosa tersebut boleh dipohon keampunan kemudian dan amalan yang ditinggalkan boleh diganti semula.
Masalah utama yang dihadapi oleh mereka yang mengalami krisis kekeliruan identiti (juga mereka yg straight) adalah gelora nafsu yang sukar dikawal. Betul nafsu tidak boleh dihapuskan, tetapi mesti dikawal dengan betul umpama menundukkan kuda yang liar. Inilah cabaran utama yang paling getir sebenarnya. Mudah-mudahan Allah memberikan sedikit kekuatan kepada kita untuk bermujahadah melawan nafsu jahat yang didalangi syaitan ini.
Mereka yang mengalami krisis identiti ini (plu) kebanyakkannya belum berkahwin walaupun umur agak lanjut (25 ke atas) sedangkan rakan-rakan sebaya mereka sudah mempunyai anak 2-3 orang. Sebab utama tidak berkahwin adalah mungkin kerana belum bersedia untuk menerima pasangan hidup dan juga atas faktor kewangan. Jadi jalan penyelesaian yang paling mudah dan singkat untuk mengatasi ketidakstabilan hormon adalah dengan mel****p (rasa segan nak sebut). Ini adalah jalan yang biasa diambil oleh plu dan amalan ini mungkin sudah bermula sejak mereka berumur 13 tahun (kebanyakkannya bergantung kemudahan access talian internet). Perlakuan ini berterusan sehingga sampai ke satu tahap ketagihan sehingga mereka melakukan sedemikian sekurang-kurangnya sekali sehari. Malah mungkin juga lebih dari sekali dalam sehari.
Rasa malu nak sebut sebab tak berniat untuk membuka aib sendiri. Tetapi mudah - mudahan menjadi perkongsian dan mencetuskan rasa malu pada Allah sebab telah menzalami diri sendiri. Mudah - mudahan ia juga dapat menanam pada diri kita rasa keinsafan kerana telah melakukan dosa (setiap perlakuan dosa akan dicampak kedalam api neraka tak kira dosa kecil atau besar kecuali sempat bertaubat). Banyak dosa berganda telah wujud. Antaranya:
1) Melihat aurat individu lain
Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menaikkan nafsu. Paling biasa adalah dengan melayari laman yang tidak sepatutnya. Juga melalui webcam dan chatting (paling popular YM, SKYPE dll). Tidak merasakan melihat aurat itu satu dosa kerana dosa tersebut telah sebati dalam diri kita dan merasakan tidak salah, kalau salah pun diabaikan perasaan tu (pada ketika itu , nafsu tengah bergelora)
2) Bercakap dan membayangkan perkara lucah
Untuk menaikkan nafsu, berkata dan menyebut benda lucah melalui tulisan. Dengan adanya video streaming, hanya dengan bersuara untuk menaikkan nafsu. Pada masa tu memang kita tak sedar kita menuturkan benda yang kotor sebab nak capai matlamat kepuasan nafsu. Kalau menonton video yang tak sepatutnya pula, membayangkan kita pelakon tersebut dan melakukan perkara terlarang dengan orang yang kita suka (ampunkan dan hilangkan perasaan ini Tuhanku)
3) Meninggalkan solat
Selalunya, misi syaitan ini berjaya sampai ke tahap ini. Ini kerana kita boleh meluangkan masa berjam-jam untuk memuaskan nafsu tetapi tadak berkemampuan untuk meluangkan masa 5-10 minit untuk solat. Betullah firman Allah " Solat mencegah diri dari melakukan perkara keji dan mungkar". Tetapi kita masih juga buat maksiat walaupun solat sebab ia satu tanda solat tidak diterima.
Banyak lagi sebenarnya dosa-dosa lain yang terhasil selari dengan aktiviti yang bercanggah ini. Bila digabungkan dosa - dosa ini sama ada kecil dan atau besar, ianya menjadi ' double trouble' sebenarnya. Rasa seolah diri ini orang munafik kerana secara zahirnya (di depan orang) macam orang baik, tapi bila bersendirian lawan ajaran Islam. Ya Allah, ampunkan aku. Berilah keampunan kepadaku. Biarlah taubat yang aku lakukan adalah taubat yang sungguh-sungguh. Bukan taubat yang olok-olok. Bukan niat untuk mempersendakan Engkau ya Allah.

Thursday 9 February 2012

Surat Terbuka Untuk Sahabatku

Assalamualaikum wrt....


Kehadapan sahabatku yang dirindui. Mudah-mudahan engkau sentiasa berada dalam rahmat Allah dan sentiasa terpelihara daripada dosa-dosa. Aku menyanyangi engkau sebagai seorang teman yang boleh dijadikan sahabat untuk sama sama berkongsi masa senang dan masa susah disamping dapat bertukar-tukar pandangan.


Aku harap engkau sudi dan ikhlas berkawan denganku dan dapat menerima aku seadanya. Apabila aku menyukai seseorang, adalah sukar untuk aku melupankan orang itu kerana aku suka mengambil berat tentang perihal orang tersebut. Aku akan terasa bersalah jika tidak dapat membantu sekurang-kurangnya memberikan sedikit nasihat. Jika engkau melakukan kesilapan, aku akan cuba untuk menegur engkau dan sebaliknya jika aku yang silap, aku amat mengharapkan agar engkau dapat menasihati aku, menegur aku dan menyedarkan aku atas kesilapan yang aku lakukan.


Sahabatku....


Engkau adalah anak yang baik. Engkau adalah budak yang baik. Walaupun kita tidak pernah bersua muka dan hanya berhubungan di alam maya, dari raut wajah engkau dan percakapan engkau aku dapat mengagak bahawa engkau bukanlah manusia yang jahat. Engkau bukanlah manusia yang liar, walaupun engkau seringkali menyatakan kepadaku engkau budak jahat. Jangan sesekali berkata demikian wahai sabahatku. Jahat dan baik itu adalah pilihan kita sendiri. Masih ingatkah kita akan beberapa ayat dalam kitab suci kita yang menyatakan bahawa ibu bapa yang mencorakkan anak mereka sama ada menjadi muslim, yahudi, kristian atau majusi?. Masih ingatkan kita ayat bahawa Allah tidak akan mengubah nasib hamba-hambanya melainkan dia berusaha ke arah mengubah nasibnya?. Ini menunjukkan kita menjadi jahat bukan sesuatu yang telah ditetapkan Allah sejak dahulu lagi (qada dan qadar) tetapi adalah atas pilihan manusia sendiri. Jika kita menganggap nasib buruk kita telah ditentukan oleh Allah, bermakna kita telah menuduh Allah melakukan kezaliman terhadap kita, sedangkan Allah itu Maha Adil. Kita lah sebenarnya yang bersalah kerana menzalimi diri sendiri.


Seringkali aku mengingatkan engkau wahai sabahatku, aku bukanlah seorang ustaz atau orang yang mahir dalam agama. Tetapi, sedikit sebanyak ilmu yang kita ada kita kongsi bersama, mudah-mudahan di sana kita mendapat rahmat dan redha Allah. Saban hari, kita diuji dengan berbagai ujian. Nikmat bercinta yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambanya merupakan nikmat yang sangat murni dan besar implikasinya kepada kehidupan manusia. Melalui nikmat ini, manusia diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk salaing menyanyangi dan kemuncakkan merasai kenikmatan hubungan halal antara seorang teruna dan seorang dara. Namun begitu, tidak semua percintaan berakhir dengan kegembiraan. Ada yang berakhir dengan kesedihan dan luka di hati yang amat memedihkan. Ingatlah sahabatku, musibah buruk yang berlaku itu adalah ujian Allah kepada hambanya dan juga satu bentuk kafarah (hukuman) atas kesilapan-kesilapan lalu yang dilakukan oleh hamba-Nya.


Sahabatku....


Apa sahaja dosa yang kita lakukan sama ada besar atau kecil, banyak atau sedikit, sengaja atau pun tidak, biarkan sahaja ia menjadi kisah silam kita. Jangan diungkit dan diceritakan pada orang lain, dan jangan diperbesarkan lagi. Yang lepas, biarlah terus kekal menjadi lipatan sejarah yang boleh kita jadikan iktibar, panduan dan sempadan di masa hadapan. Terlalu banyak dosa yang aku telah lakukan wahai sahabatku. Oleh kerana kita terbiasa dengan dosa tersebut, ianya menjadi sebati dalam diri kita sehinggakan kita merasakan tidak langsung bersalah atas dosa yang dilakukan. Seterusnya rasa tidak bersalah itu bertukar menjadi rasa seronok melakukan dosa. Ingatlah sahabatku, di saat itu, hati kita telah bertukar menjadi hitam dan sudah penuh dengan titik-titik hitam yang menyebabkan kita tidak lagi takut akan kedasyhatan api neraka. Iman kita menjadi terlalu lemah kerana kita tidak pernah memberi rohani (hati) kita makanan sedangkan saban hari kita memberikan fizikal (perut) kita makanan paling tidak 3 kali sehari.


Sahabatku...


Jika kita telah melakukan dosa, jangan bersedih, bangkitlah, bangun semula wahai sahabatku. Jangan jadikan kisah silam membelenggu kita dengan menzalimi diri sendiri. Jangan kita marahkan dan lepaskan kesalahan orang lain dengan cara membinasakan diri sendiri. Jangan kita balas dendam itu dengan menggadaikan maruah kita kerana berkali kali dalam kitab suci kita menegah kita menggadaikan maruah diri. Malahan agama kita menyarankan kita agar sentiasa menjaga kehormatan diri dan sangat-sangat mementingkan pertalian zuriat. Sebenarnya, Allah itu sangat-sangat menjaga maruah kita. Kita telah melakukan banyak dosa dan maksiat, tetapi kita dilihat di mata manusia lain sebagai orang yang baik, orang yang alim, orang yang berpuasa, dan orang yang solat. Tetapi sebenarnya apabila kita bersendirian atau orang tidak melihat, kitalah manusia yang jahat dan selalu membuat dosa. Allah pelihara maruah kita dengan tidak mendedahkan wajah sebenar kita kerana dia begitu menjaga maruah kita. Mana mungkin kita begitu mudah mahu menggadai maruah sendiri sedangkan Allah sangat-sangat menjaganya?


Wahai sahabatku...


Jika sekiranya dalam diri kita ada naluri atau nafsu songsang yang bercaggah dengan ajaran agama kita, itu tidak mengapa kerana ia adalah salah satu ujian kepada kita. Kita tidak meminta dilahirkan dengan naluri itu, tatapi kita diberikan naluri itu sejak dari kita kecil atau disebabkan sesuatu perkara yang telah menimpa kita. Ingatlah sahabatku, Allah tidak akan menghukum kita hanya kerana kita mempunyai naluri songsang itu, tetapi Allah hanya akan menghukum kita dan membalasnya dengan api neraka apabila kita mengikut naluri songsang itu melalui jalan zina liwat atau seumpamanya.


Sahabatku....


Marilah kita bersama-sama bermujahadah dengan nafsu kita kerana ianya bukan sesuatu yang mudah. Kerja mujahadah ini bukan hanya berjaya dilakukan dalam sehari malah ia bukan kerja yang memakan masa sebulan dua. Tetapi ia satu kerja istiqamah yang memakan masa bertahun-tahun. Marilah kita bersama-sama menuju ke arah kebaikan.


Aishiteru Sahabatku...... La Tahzan....

Thursday 2 February 2012

Ditelan Mati Mak, Diluah Mati Bapa

Sungguh sukar kehidupan golongan orang yang hidup seperti aku. Setiap detik terpaksa bertarung dengan kekeliruan identiti yang saban waktu mengcengkam gelora nafsu. Mereka ini adalah satu golongan yang wujud dalam satu kelompok manusia normal dan sering berinteraksi dengan mereka dalam kehidupan seharian. Golongan ini bukanlah seperti golongan pondan/mak nyah atau tomboy yang mudah dikenali melalui perwatakan fizikal iaitu bentuk badan, suara, pakaian, biologi diri dan sebagainya.


Mereka secara fizikalnya adalah manusia normal seperti insan lain tetapi disana, mereka bertarung dengan hawa nafsu diri sendiri mencari sedikit kekautan untuk survival hidup mereka. Jika dilihat dari penampilan luaran, seseorang tidak menyangka langsung dia mempunyai masalah naluri. Apatah lagi ditambah sikap lelaki yang kebanyakkannya lebih suka menyembunyikan sesuatu masalah daripada bercerita kepada kawan. Berbanding dengan wanita, perkara yang berkaitan perasaan atau apa sahaja masalah yang mereka hadapi, mereka lebih suka berbincang dan menceritakan kepada sahabat mereka sebagai satu terapi penyelesaian masalah.


Golongan lelaki ini seolah-olah berada pada satu persimpangan. Laluan hi hadapan adalah jalan mati, laluan ke kanan ada harimau dan laluan ke kiri ada buaya. Apa tidaknya, mereka kurang rapat dengan golongan wanita atas sebab iktilat (perhubungan) yang terbatas antara lelaki dan perempuan. Meraka tahu dan faham hukum berkaitan hubungan seorang lelaki dan perempuan. Mana mungkin mereka keluar berdua-duaan ke tempat khalayak ramai tanpa muhrim kerana tidak mahu menimbulkan fitnah. Dalam masa yang sama, golongan seperti ini tidak bebas berkawan dengan lelaki. Ini kerana mereka mempunyai naluri songsang yang sentiasa mengajak kepada perkara keji. Bagaimana golongan lelaki straight dapat berjumpa, berpegangan dengan pasangannya, itulah juga yang dirasai golongan ini. Mereka perlu mengawal dan sangat-sangat menjaga batas pergaulan dengan lelaki justeru itu adalah sumber utama gelora nafsu songsang.


Sungguh berat ujian yang Allah timpakan bagi golongan ini. Menahan hawa nafsu untuk sesuatu yang mustahil dibenarkan oleh Allah. Golongan ini terpaksa menerima ujian ini dan mereka dipilih oleh Allah untuk menempuh ujian ini dalam keadaan jika mereka diberi pilihan oleh Allah, nescaya mereka jauh sekali memilih naluri normal. Apa yang dipohon daripada Allah hanyalah kekuatan setiap waktu agar terhindar daripada dosa zina sejenis atau seumpamanya. Jangan kita lupa, golongan ini bukan mereka yang terjebak dengan aktiviti seks songsang ( tapi kebanyakkannya telah terlanjur bersama pasangan). Mereka 'budak baik' kerana selalu ingatkan Allah, selalu solat malahan solat berjemaah, selalu membaca Al-Quran, selalu menghadiri kuliah-kuliah dan majlis ilmu di masjid atau surau. Mereka mencari redha dan rahmah Allah dalam kehidupan mereka tetapi dalam masa yang sama mereka bertarung dengan hawa nafsu songsang. Konflik antara amal ibadah dan amal kejahatan. Konflik antara dosa dan pahala. Ketahuilah bahawa mereka jauh sekali ingin menjadi munafik dan sentiasa bertaubat untuk memohon keampunan daripada Allah.


Sesungguhnya Allah tidak akan menghukum golongan ini atas naluri atau keinginan songsang itu, Allah akan menghukum kita apabila kita menuruti hawa nafsu songsang dan telah melakukan perbuatan keji dan hina itu.


Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, rahmatilah dan redhalah hidupku ya Allah.


Amin.