Sungguh sukar kehidupan golongan orang yang hidup seperti aku. Setiap detik terpaksa bertarung dengan kekeliruan identiti yang saban waktu mengcengkam gelora nafsu. Mereka ini adalah satu golongan yang wujud dalam satu kelompok manusia normal dan sering berinteraksi dengan mereka dalam kehidupan seharian. Golongan ini bukanlah seperti golongan pondan/mak nyah atau tomboy yang mudah dikenali melalui perwatakan fizikal iaitu bentuk badan, suara, pakaian, biologi diri dan sebagainya.
Mereka secara fizikalnya adalah manusia normal seperti insan lain tetapi disana, mereka bertarung dengan hawa nafsu diri sendiri mencari sedikit kekautan untuk survival hidup mereka. Jika dilihat dari penampilan luaran, seseorang tidak menyangka langsung dia mempunyai masalah naluri. Apatah lagi ditambah sikap lelaki yang kebanyakkannya lebih suka menyembunyikan sesuatu masalah daripada bercerita kepada kawan. Berbanding dengan wanita, perkara yang berkaitan perasaan atau apa sahaja masalah yang mereka hadapi, mereka lebih suka berbincang dan menceritakan kepada sahabat mereka sebagai satu terapi penyelesaian masalah.
Golongan lelaki ini seolah-olah berada pada satu persimpangan. Laluan hi hadapan adalah jalan mati, laluan ke kanan ada harimau dan laluan ke kiri ada buaya. Apa tidaknya, mereka kurang rapat dengan golongan wanita atas sebab iktilat (perhubungan) yang terbatas antara lelaki dan perempuan. Meraka tahu dan faham hukum berkaitan hubungan seorang lelaki dan perempuan. Mana mungkin mereka keluar berdua-duaan ke tempat khalayak ramai tanpa muhrim kerana tidak mahu menimbulkan fitnah. Dalam masa yang sama, golongan seperti ini tidak bebas berkawan dengan lelaki. Ini kerana mereka mempunyai naluri songsang yang sentiasa mengajak kepada perkara keji. Bagaimana golongan lelaki straight dapat berjumpa, berpegangan dengan pasangannya, itulah juga yang dirasai golongan ini. Mereka perlu mengawal dan sangat-sangat menjaga batas pergaulan dengan lelaki justeru itu adalah sumber utama gelora nafsu songsang.
Sungguh berat ujian yang Allah timpakan bagi golongan ini. Menahan hawa nafsu untuk sesuatu yang mustahil dibenarkan oleh Allah. Golongan ini terpaksa menerima ujian ini dan mereka dipilih oleh Allah untuk menempuh ujian ini dalam keadaan jika mereka diberi pilihan oleh Allah, nescaya mereka jauh sekali memilih naluri normal. Apa yang dipohon daripada Allah hanyalah kekuatan setiap waktu agar terhindar daripada dosa zina sejenis atau seumpamanya. Jangan kita lupa, golongan ini bukan mereka yang terjebak dengan aktiviti seks songsang ( tapi kebanyakkannya telah terlanjur bersama pasangan). Mereka 'budak baik' kerana selalu ingatkan Allah, selalu solat malahan solat berjemaah, selalu membaca Al-Quran, selalu menghadiri kuliah-kuliah dan majlis ilmu di masjid atau surau. Mereka mencari redha dan rahmah Allah dalam kehidupan mereka tetapi dalam masa yang sama mereka bertarung dengan hawa nafsu songsang. Konflik antara amal ibadah dan amal kejahatan. Konflik antara dosa dan pahala. Ketahuilah bahawa mereka jauh sekali ingin menjadi munafik dan sentiasa bertaubat untuk memohon keampunan daripada Allah.
Sesungguhnya Allah tidak akan menghukum golongan ini atas naluri atau keinginan songsang itu, Allah akan menghukum kita apabila kita menuruti hawa nafsu songsang dan telah melakukan perbuatan keji dan hina itu.
Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, rahmatilah dan redhalah hidupku ya Allah.
Amin.
No comments:
Post a Comment