Thursday 26 April 2012

Membersihkan Tangki Najis


Badan kita terdiri daripada dua aspek: Rohani dan Jasmani. Setiap hari kita makan paling kurang pun tiga kali sehari. Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Namun, bukan semua yang kita makan itu diserap oleh badan. Hanya nutrien yang diserap oleh vilus di usus kecil, dan selebihnya akan dijadikan tinja sebelum dinyahkan dari badan. Serat umpamanya, penting untuk penghadaman tetapi tidak lagi berguna setelah nutrien diserap daripanya. Makan itu satu keperluan badan dan kita akan dapat tengok kesannya kalau kita tak cukup makan atau terlebih makan melalui fizikal luaran kita. Makanan ini untuk jasmani. Bagaimana pula dengan makanan rohani?

Rohani juga memerlukan makan, tetapi bukan makanan berbentuk fizikal. Tapi sajiannya adalah dalam bentuk solat, doa, amal kebaikan, zikir, tazkirah, ceramah, membaca quran dan sebagainya. Ini makanan rohani sebenarnya dan ia juga perlu diberikan kepada badan setiap hari mengikut sukatan yang betul. Jika dos yang diberikan berlebihan, tidak mendatangkan mudarat kepada badan. Tapi, jika dosnya kurang, boleh menyebabkan satu penyakit yang memudaratkan badan. Ianya memberikan kesan kepada 'hati'. Hati menjadi hitam, berkarat, dan kabur.

Penyakit hati menyebabkan amalan kebaikan bercampur gaul dengan amalan keburukan. Dalam kata lain, dosa bercampur pahala. Pagi buat amalan kebaikan, petang buat maksiat dan dosa. Tadi solat zohor, lepas solat tengok benda lucah. Siang berpuasa, lepas berbuka 'ringan-ringan' atau berzina. Ini antara beberapa contoh realiti yang berlaku. Jawapannya sebab iman kita turun naik:



Minyak tidak boleh bercampur dengan air walaupun digongcang berulang kali dan sekuat-kuatnya dalam satu botol. Begitu juga dosa dan pahala, ia tidak akan boleh bercampur. Jika ia bercampur juga, salah satu akan terhapus atau berkurangan. Jika dosa dan pahala bercampur, yang mendapat kesannya adalah hati. Hati yang berdosa itu ibarat tangki najis. Sayugia, dalam rajah yang paling atas, ada dua cara untuk membersihkan tangki tersebut. Pertamanya, tahi dalam tangki itu tidak dikeluarkan, tetapi, air bersih dialirkan dengan tujuan untuk membersihkannya sehinggalah air yang bersih melimpah ruah daripada bahagian atas. Kesannya, sampai bila-bila pun hati itu tidak akan bersih sampai bila-bila sebab bahagian bawahnya tahi tersebut terkandas. Ingat prinsip keapungan!!!. Bila ketumpatan tahi itu lebih tinggi daripada air (sebab sudah bertukar menjadi mendakan), ia tidak akan timbul.

Cara kedua adalah dengan mengeluarkan terlebih dahulu mendakan dibahagian bawah tangki melalui injap. Kemudian, air bersih dialirkan dan proses diulang sehingga tangki benar-benar bersih. Air kotor akan keluar melalui injap di bahagian bawah dan bila sudah bersih barulah injap tangki ditutup boleh dipenuhkan dengan air yang bersih. Mengulang proses pembersihan ini bukannya boleh dilakukan sekali dua, tapi berulang kali. Ini kerana tangki septik tersebut sudah tercemar dengan kekotoran yang kronik dan bau yang amat busuk menusuk hidung. Sekali cuci belum mencukupi, tetapi memerlukan banyak kali proses pencucian. Mungkin juga perlu guna bahan pencuci yang berlainan. Tetapi sebelum cuci tangki tersebut, seseorang itu perlu kuat semangat dan mempunyai iltizam yang kuat untuk memcucinya sebab kalau tak kuat, proses pencucian mungkin terhenti separuh jalan dan kerja-kerja tersebut menjadi projek terbengkalai.

Analogi:
Tangki = Hati
Proses PemBERSIHan = Taubat
Iltizam = Kekuatan dan mind setting untuk berubah
Air Bersih = Amalan kebaikan / Pahala
Air Kotor = Dosa

Monday 23 April 2012

Komplot Membunuh "Hakimi"

Hidup dalam dua identiti individu yang berbeza amat menyeksakan. Secara luaran, kita dilihat sebagai seorang individu yang berlainan watak, individu yang baik tapi dalam masa yang sama kita sedang berperang antara dua watak . Seringkali terpaksa berpura-pura dengan manusia di hadapan kita dengan menonjolkan kita individu yang baik, tapi sebaliknya kita tidak begitu.

Kita mengalami syndrom penafian. Menafikan kecelaruan identiti yang berlaku pada diri tetapi dalam masa yang sama 'meraikan' sifat itu. Jujur aku katakan aku membenci hidup dalam keadaan begini. Aku membenci menjadi plu, aku membenci mencadi gay, aku membenci menjadi biseksual, aku membenci menjadi salah seorang daripada orang yang mengalami krisis kecelaruan identiti ini. Rasa cemburu melihat rakan-rakan berumah tangga dan menganggap mereka mengecapi kehidupan yang bahagia (walaupun tidak tahu mungkin mereka juga mungkin mengalami kecelaruan identiti, tetapi mereka cuba menutupi dan menyembunyikan perasaan itu dengan berkahwin).

Persoalanya, bolehkan aku lenyapkan 'perasaan itu' dalam diri?. Semakin aku cuba menjauhi, semakin ia dekat pada aku. Aku tak kuat dan aku takut terjebak dalam lembah kebinasaan yang lebih dasyat. Aku tak mahu sampai ketahap aku menyesal dan ditimpa ujian yang lebih hebat, baru aku nak berpatah balik kepada masa lampau. Teringat pesan Imam Ghazali, apabila dia bertanya kepada anak muridnya soalan apakah perkara yang paling dekat dan perkara yang paling jauh dari kita. Ada yang menjawab yang paling dekat adalah Ibu-bapa kita, kawan-kawan dan sebagainya manakala yang paling jauh adalah, matahari, bulan dan sebagainya. Namun Imam Al-Ghazali menjelaskan yang paling dekat dengan kita adalah mati dan yang paling jauh dengan kita adalah masa. Benar sekali jawapan Imam Al-Ghazali tersebut kerana mati akan datang pada bila-bila masa sahaja dan tidak ada seorang pun daripada kita hatta nabi yang tahu bila saat kematiannya. Malah ia tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat. Begitu juga dengan masa, ialah yang paling jauh dengan kita. Kita tidak boleh dan tak mungkin lagi dapat kembali ke masa lampau.

Tetapi mengapa ada orang yang sanggup menjalani kehidupan sebagai seorang biseksual sedangkan dia adalah seorang "straight". Kita yang dilahirkan "semulajadi" sebagai seorang yang mengalami krisis kecelaruan identiti saban hari berdoa agar Allah ampunkan dosa kita dan lenyapkan perasaan songsang itu dalam diri. Kalau yang tidak songsang ("straight") boleh menjadi songsang, adakah mustahil yang mempunyai naluri songsang menjadi "straight"?.

Salah satu watak dalam diri kita mesti dikorbankan. "Hakimi" mesti dikorbankan bagi menyelamatkan diri aku daripada terus sengsara dengan penyakit kecelaruan identiti ini. Aku rasa selagi 'Hakimi' ini tidak dinyahkah dari dalam diriku, selagi itu aku rasa berdosa. Aku rasa Allah 'murka' pada aku. Aku rasa Allah 'benci' pada aku dan paling menggusarkan aku, aku rasa, rahmat Allah semakin jauh dari aku.

Nota Berkaki:
Talkin itu untuk orang yang hadir majlis pengkebumian, bukan untuk mereka yang sedang berada di dalam kubur. Sebabnya, orang yang telah mati telah terputus amalannya melainkan, sedekah jariah, doa anak soleh dan ilmu yang dimanfaatkan.

Sunday 15 April 2012

Cinta: Tiada Pilihan Kedua

Dalam hidup ini, kita tidak lari dari membuat pilihan. Malah bukan kita sahaja yang perlu membuat pilihan untuk diri kita, bahkan orang lain juga perlu membuat pilihan bagi pihak kita. Bermula daripada kita dilahirkan, ibu bapa kita membuat pilihan nama yang perlu diberikan kepada kita, baju lelaki atau perempuan yang perlu dibeli, jenis susu tambahan untuk pertumbuhan bayi dan sebagainya. Hatta, sehingga kita mati pun, orang di sekeliling kita juga perlu membuat pilihan bagi diri kita bila sesuai untuk dikebumikan kita, tempat mana yang sesuai untuk mengkebumikan jenazah kita dan sebagainya.
Namun begitu, ada satu perkara dalam hidup kita, kita tidak mempunyai pilihan melainkan wajib untuk mengikut satu jalan sahaja, tiada jalan kedua, jalan ketiga dan seterusnya. Perkara yang dimaksudkan adalah memilih pasangan hidup untuk dicintai. Benar, cinta manusia tidak kekal dan hanya cinta Allah sahaja yang kekal. Tetapi, ini tidak bermaksud tidak penting untuk kita mencintai sesama manusia. Ianya bergerak secara serentak sebenarnya sebab kita mencintai pasangan kita kerana kita cintakan Allah. Kita sayangkan pasangan kita kerana kita sayangkan Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam [Al-Imran, 3:31]:
Katakanlah, "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih."

Dalam hidup manusia juga, ada banyak cabaran yang harus dihadapi oleh pasangan. Ada pasangan yang hidup cukup bahagia dan cukup harmoni. Ada pasangan pada awal pernikahan sangat bahagia, namun di pertengahannya mula bermasam muka dan akhirnya berakhir dengan penceraian. Ada pula pasangan yang di awal pernikahan sudah bermasam muka (disebabkan tinggal di rumah mertua, dll), namun akhirnya kembali stabil dan hidup aman bahagia. Itulah asam garam kehidupan manusia. Secara umumnya, setiap pasangan itu menepati persamaan ketiga dalam rajah di atas. Dalam realiti, separuh kehidupan pasangan adalah berbentuk kegembiraan, dan separuhnya berbentuk kesedihan.
Tampaknya, perbincangan di atas lebih merujuk kepada mereka yang "straight". Namun begitu, bagaimana pula dengan kehidupan seseorang yang mengalami krisis kecelaruan identiti (fokus pada plu dan gay)?.
Agak sukar untuk menerangkan perkara ini kerana ianya melibatkan masalah dalaman (naluri seks) dan bukan masalah luaran. Masalahnya ialah tentang lelaki yang lebih tertarik dengan lelaki lain. Sukar untuk menerangkannya kerana bagi mereka yang " straight" , naluri sebegini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan mungkin juga "jijik". Boleh dikatakan merekalah antara golongan yang lantang bersuara berkaitan isu LGBT bila isu ini hangat suatu ketika dulu. Dalam masa yang sama persoalan tentang "Bila hendak kahwin" yang sering kali diajukan kepada golongan plu atau gay merupakan "soalan maut" yang boleh membangkitkan "kemarahan" dan rasa macam nak cilikan saja mulut orang yang bertanya dan mengejek bila bertanya soalan ni. Namun apakan daya, mereka yang bertanya soalan sebegini datangnya daripada saudara mara sendiri, adik beradik sendiri, atau pun sahabat sendiri. Mereka juga seringkali bertanya siapakah pilihan kita.
Bagaimana mungkin kita nak terangkan kepada mereka yang kita sudah mempunyai pilihan dan orang yang kita cintai. Tetapi orang itu sama jantina dengan kita. Katakan kita bercinta atau mempunyai boyfriend. Selalu berjumpa dihujung minggu, selalu keluar bersama, makan bersama dan sebagainya. Masyarakat yang melihat tidak menganggap itu perkara pelik selagi mana kita tidak melakukan perkara yang tidak senonoh di luar. Masyarakat akan menganggap mereka berdua ini mungkin kawan baik. Namun begitu, jika perasaan cinta dan sayang ini semakin mendalam, bolehkah ianya berakhir dengan perkahwinan?. Jawapannya, sudah tentu tidak dan tidak mungkin akan berlaku. Sebabnya, ia ditegah oleh Islam.
Jika perhubungan itu diteruskan juga (antara lelaki dengan lelaki) dan disulami dengan perasaan kasih-sayang, ia sebenarnya bukan kasih sayang. Tetapi adalah gelora hawa nafsu dan bisikan syaitan. Akhirnya ia berakhir dengan hubungan zina liwat dan "ringan-ringan" di dalam bilik tertutup. Persoalan juga mungkin timbul, bagaimana hendak mencintai wanita, sedangkan perasaan itu tidak ada. Malah jika tengok perempuan tanpa seurat benang pun, tiada keghairahan nafsu seksual. Sebenarnya, perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan itu, bukan tidak ada tetapi belum terbina. Bagaimana hendak terbina, jika lelaki sering mengelak dengan perempuan. Tidak mahu "bergaul" dengan perempuan. Tidak mahu "memahami " golongan perempuan. Perasaan kasih-sayang itu boleh dipupuk. Tetapi ianya memerlukan rawatan "masa".
Pernah disukai oleh wanita?. Jawapannya ialah Ya. Tapi tidak boleh meneruskan perhubungan tersebut kerana kita tahu siapa kita. Tidak mahu menganianya dia dengan menipu diri sendiri dan realiti naluri songsang ini. Paling utama, rasa seolah-olah diri tidak layak dengan dia kerana kita rasakan kita terlalu banyak "dosa". Bukankah perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik dan perempuan yang buruk akhlaknya untuk lelaki yang buruk akhlaknya? (itu janji Allah dalam Surah An-Nur).
Tetapi kita tidak mempunyai pilihan kedua. Kita tidak boleh mencintai dan menyayangi lelaki sebagaimana kita menyayangi seorang perempuan sebagai isteri kita. Itu sesuatu yang mustahil. Tiada pilihan......kita mesti belajar juga mencintai wanita supaya suatu hari nanti hati kita juga terbuka untuk mereka.
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” [Surah Al-Rum, 30:21]

Tuesday 10 April 2012

Gay & Homoseksual Dalam Al-Quran

(Gambar sekadar hiasan)

Manusia diuji oleh Allah setiap hari. Salah satu ujian besar yang diuji kepada hamba-hamba-Nya adalah ujian mempunyai naluri songsang (homoseksual). Ujian ini bukalan sesuatu yang baru malah Allah telah menguji Nabi Luth dengan mempunyai kaum yang homoseksual. Isu kecelaruan identiti ini bukan isu yang remeh kerana isu homoseksual ini dirakam dalam Al-Quran sebagai panduan dan pedoman manusia. Walaupun kisah kaum Nabi Luth bersifat sejarah, ianya masih releven sehingga ke hari ini dan menjadi sebahagian daripada cabaran kepada orang Islam.

Rupa-rupanya, Allah telah menceritakan serba sedikit tentang homoseksual ini dalam Al-Quran. Cuma, kita sebgai manusia malas untuk mengkaji, sering memekakkan teliga untuk mendengar bacaan Al-Quran dan masalah yang paling besar bagi orang Melayu adalah malas untuk mentadabur dan membaca makna-makna dalam Al-Quran. Rata-rata orang Melayu Islam mungkin telah khatam Al-Quran lebih dari sekali (dalam masa yang sama ramai lagi yang buta Al-Quran). Adalah amat malang dan sia-sia hidup ini, tika umur menecah 25 tahun, kita tidah pernah khatam terjemahan Al-Quran. Sedangkan disana, ada mutiara-mutiara penting yang hanya layak ditulis dengan tinta-tinta emas kerana isinya amat penting. Ayat -ayat yang menerangkan tentang gay dan homoseksual adalah seperti berkikut:
Ayat 1 (Al-A'raaf, Ayat 80)
Dan (Kami telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). Ingatlah takkala mereka berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah (homoseksual) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seseorang pun (di dunia ini sebelummu)?
Ayat 2 (Al-A'raaf, Ayat 81)
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.
Ayat 3 (Huud, Ayat 78)
Dan datanglah kepadanya kaumnya dengan bergegas-gegas. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji (liwat, homoseksual). Luth berkata: "Hai kaumku, inilah puteri-puteriku, mereka lebih suci bagimu, maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku terhadap tamuku ini. Tidak adakah di antaramu seorang yang berakal?"
Ayat 4 (Asy Syu'araa', Ayat 165 &166)
Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas."
Ayat 5 (An Naml, Ayat 55)
"Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu (mu), bukan (mendatangi) wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu)."
Ayat 6 (Al 'Ankabuut, Ayat 29)
Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi laki-laki, menyamun* dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar."
*Sebahagian ahli tafsir mengertikan taqtha 'uunas 'sabil dengan melakukan perbuatan keji terhadap orang-orang yang dalam perjalanan kerana mereka sebagian besar melakukan homoseksual itu dengan tetamu yang datang ke kampung mereka. Ada lagi yang mengertikan dengan merosakkan jalan keturunan kerana mereka berbuat homoseksual itu.
Mungkin ada lagi ayat-ayat yang lain yang aku terlepas pandang. Tapi, apa yang penting hal tentang homoseksual, gay, suka pada lelaki, dan semua masalah kecelaruan identiti yang berlaku dalam masyarakat adalah dalam pengetahuan Allah. Hanya Allah yang mampu membaca isi hati dan niat hamba-Nya. Ya Allah, jangan jadikan kami manusia yang sesat setelah Engkau datangkan seorang nabi dan rasul (Muhammad) kepada kami. Jangan kau timpakan azab kepada kami dan menguji kami melebihi kemampuan kami. Kuatkan iman kami menghadapi cabaran dan dugaan-Mu ya Allah.

Friday 6 April 2012

Itukah Penyelesaiannya?

Bila membaca artikel di Malaysiakini online, edisi Jumaat (6 April 2012), ada satu artikel menarik perhatian aku. Artikelnya seperti di atas. Nampak kerajaan memerintah cuba untuk mengekang penampilan mereka yang mengalami kekeliruan identiti. Ya, mungkin langkah tersebut ada benarnya. Tetapi adakah ia jalan penyelesaian terbaik?. Aku akan mengulas dari aspek significantnya tindakan tersebut dahulu (aspek langkah mengatasi mungkin dalam post seterusnya). Dari satu sudut, mereka yang mengalami kecelaruan identiti dan mendedahkan identiti di khalayak ramai (rujuk pembahagian kecelaruan identiti di post sebelumnya)tidak dibenarkan disiarkan dalam media massa.
Sebelum itu, aku ingin menyatakan bahawa mereka yang berperwatakan pondan ini memang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini kerana mereka menyerupai perempuan dan ianya ditegah oleh agama seperti dalilnya dalam Al-Quran dan Hadis. Itu jelas. Begitu juga isu lelaki lembut. Mereka bukan meminta dilahirkan begitu, tetapi suasana sejak dari kecil membentuk dirinya sedemikian rupa. Contohnya cara berjalan, bercakap, menghayunkan tangan ketika bercakap, imej berpakaian , itu semua bukan mudah untuk diubah sebab ianya sudah terbina sejak dari kecil. Walau bagaimanapun, ianya bukan mustahil untuk diubah, tetapi memerlukan terapi 'masa'.
Menghentikan penyiaran watak tersebut mungkin ada kebenaranya, tetapi sejauh mana ia berkesan boleh dipertikaikan. Media massa adalah satu instrumen pendidikan dalammembentuk masyarakat. Malah ia boleh membina dan mencorak budaya masyarakat sesebuah negara. Memeang perlu, pihak berkuasa menapis bahan untuk tontonan masyarakat kerana 'anda apa yang anda baca' dan juga 'anda apa yang anda lihat'. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan yang selektif. Maksudnya, perwatakan pondan dan lembut diharamkan kerana boleh mempengaruhi masyarakat untuk untuk ke arah itu. Tetapi bagaimana pula dengan cerita-cerita hantu yang lebih kerap ditayangkan di televisyen berbanding cerita pondan/ watak lembut. Sedangkan cerita hantu tersebut banyak mempunyai unsur karut, tahyul, khurafat, dan syirik. Cerita hantu ini seringkali bertopengkan ayat al-quran atau hadis di permulaan cerita. Tetapi adegan khurafat tetap disiarkan. Ini lebih banyak mendatangkan kesan kepada masyarakat dan mencacatkan akidah orang Islam. Kenapa semut diseberang nampak, gajah depan mata tak nampak?.
Kenapa perlu fokuskan golongan ini sahaja sedangkan mereka adalah sebahagian kecil kelompok masyarakat (jika dibandingkan mereka yang normal). Gejala buang anak dan zina berlaku setiap hari. Tidakkah pihak berkuasa berfikir bahawa mereka ini datangnya daripada golongan mereka yang berorientasikan 'straight'. Antara faktor yang membawa kepada gejala ini adalah datangnya daripada televisyen atau media sendiri. Masyarakat sudah terpengaruh dengan cerita rogol, penderaan wanita, pakaian seksi oleh artis, pergaulan bebas lelaki dan wanita dan sebagainya lagi isu bersangkutan yang 24-jam dipaparkan oleh televisyen. Ini juga sebenarnya lebih besar kesannya dibandingkan kesan yang dibawa oleh pondan/lembut.Berapa banyak sangat atau frekuensi cerita pondan/ lembut dibandingkan cerita yang mendedahkan aurat?.Sekali lagi cuba fikir balik, perkara yang sepatutnya diutamakan tidak diutamakan. Bila dah terjadi kes anak zina, buang anak, jumpa dalam tong sampah, jumpa dalam sungai, isu hangat sekejap, lepas tu dia. Kes berlaku setiap hari, tetapi masyarakat dah lali dan tidak lagi ambil peduli kes anak zina (datangnya dari pegaulan bebas mereka yang berorientasikan straight).
Kalau arahan ini berkuat-kuasa, kita tidak mungkin lagi melihat Jaafar Onn (maaf bukan berniat untuk mengata) di televisyen. Dia merupakan seorang pelakon dan juga selebriti chef. Dia mempunyai bakat besar dalam lakonan dan masakan. Wajarkah kita mengetepikan dia begitu sahaja. Pada pandagan kita,mungkin kita melihat dia sedikit "lembut", tetapi dia seorang yang hebat kerana mampu mempunyai keluarga, mempunyai anak, ada pendapatan yang baik, dan lain-lain. Adakah dengan penampilannya di televisyen mempengaruhi masyarakat untuk menjadi 'lembut'?. Ini sesuatu yang mengarut!!!!!. Begitu juga selebriti yang lain yang mengacarakan rancangan hiburan/gosip artis (tidak mahu menyebut nama-namanya), ramai yang berperwatakan lembut dari segi penampilan dan gaya bercakap.
Berkaitan aktiviti gay pula, ramai masyarakat yang tidak sedar sebenarnya sebahagian besar penyumbangnya datang daripada mereka yang nampak dari segi luarannya macam lelaki sejati. Itu tak termasuk mereka yang berorientasikan biseksual. Dua golongan ini adalah golongan terbesar yang menyumbang kepada gejala gay dalam masyarakat Melayu dan semakin berkembang. Sukar untuk menyatakan hal ini, tetapi ia adalah realiti masyarakat Melayu di alaf baru. Mereka golongan masyarakat yang mengalami kecelaruan identiti yang sukar dikesan dalam masyarakat. Ramai lelaki yang sudah berkahwin tetapi mempunyai lelaki simpanan yang lain (bukan perempuan simpanan sahaja yang ada). Pahit untuk menyatakannya, tetapi ia realiti semasa.
Artikel ini bukan untuk menghemtam sesiapa. Cuma ingin mengatakan pendapat dalam dimensi dan sudut sisi pandang yang lain. Ditegaskan sekali lagi bahawa kita tidak membenci golongan pondan/lembut, tetapi kita membenci dan menolak sikap mereka. Jika mereka meninggalkan cara yang tidak betul tersebut, masyarakat perlu memberi sokongan, menerima, dan melayan mereka dengan adil.