***************Kembali kepada Fitrah*********************
'Kembali kepada fitrah', satu ungkapan yang mudah, semudah menyebutnya, tetapi tidak semudah
melaksanakannya. Memang benar,di dalam hati
kita tertarik dengan jantina yang sama jenis dengan kita. Tetapi, kita mesti
melawan naluri tersebut kerana ianya adalah sesuatu yang songsang dan batil. Kita tidak
dapat lari atau menafikan perasaan cinta, kasih dan sayang memang wujud dalam
diri kita. Tambah lagi bila kita melihat seseorang itu menepati ciri-ciri
idaman kita umpamanya hensem, kacak, penampilan menarik, peramah, pandai
mengambil hati kita, pandai berjenaka dan sebagainya. Sebelum membuat keputusan, kita mesti melihat
kembali fitrah kejadian manusia. Tanya kembali pada diri kita, siapa kita?. Adakah tindakan
yang kita buat itu betul?. Bagaimana kita nak tahu tindakan yang kita ambil
betul atau salah?. Sama ada tindakan itu betul atau salah, ianya ada kesan
dalam diri kita. Kita dapat merasainya melalui perasaan kita, dan panduan ilmu
agama yang kita ada.
*****************Baik=Baik, Jahat=Jahat********************
Jodoh kita semangnya telah ditentukan oleh Allah. Tapi,
jodoh itu tidak datang bergolek. Kita mesti berusaha mencari dan mendapatkannya.
Tidak cukup dengan hanya berdoa dan mengharapkan kita mendapat jodoh dan berkahwin. Walaupun begitu, itu tidak bermaksud kita boleh keluar dengan mana-mana perempuan sewenang-wenangnya. Ianya sudah ada garis panduan yang digariskan agama.
Juga jodoh tidak datang semudah kita bermimpi dan berkhayal dengan siapa kita
nak nikahi. Semuanya memerlukan DUIT.... Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal. Semua orang mengimpikan untuk mendapat isteri yang baik. Seseorang itu,
pada fasa ‘mengawan’, memang dia cuba ‘dating’ dengan sebanyak mungkin wanita.
Tujuannya adalah untuk menilai siapa yang paling serasi dengan dirinya dan
siapa yang paling baik.
Aku yakin dan percaya ya Allah bahawa apa yang Engkau janjikan seperti
dalam surah An-Nur ayat 26 adalah benar. Engkau menjanjikan kepada
hamba-hamba-Mu bahawa Engkau akan jodohkan perempuan yang keji dengan lelaki
yang keji, lelaki yang keji dengan perempuan yang keji, lelaki yang baik dengan
perempuan yang baik, perempuan yang baik dengan lelaki yang baik, dan Engkau
akan memberikan rezeki serta memberkati kehidupan orang yang baik. Tetapi mana
mungkin aku akan mendapat seorang wanita yang baik kalau aku mempunyai perangai
yang buruk. Ya Allah bantulah aku untuk aku mengembara daripada jahilliyah hati
yang kelam dan banyak dosa kepada seorang muslim yang awesome, yang beriman.
Bantulah aku dalam melakukan reformasi dan transformasi jiwa dan melalui jalan pentarbiyahan rohani
ini. Kuatkan aku ya Allah. Menjadi lelaki yang baik itu prasyarat untuk
mendapat wanita yang baik. Aku mesti mengubah diri ke arah kebaikan kerana aku
percaya kata-kata Engkau yang disampaikan oleh seorang insan agung, kekasih-Mu
yang bernama Muhammad.
*********************Istikharahku**********************
Seorang yang berjaya adalah seorang yang tidak berputus asa
dengan sentiasa meminta kepada Allah. Aku telah pun melakukan solat isthikarah
sejak lebih daripada 5 bulan yang lalu setiap malam dan akan terus melakukannya. Kebanyakkannya aku lakukan
di Masjid. Ingat, bukan senang nak senang, tapi bukan susah nak susah. Benda
yang bernilai semestinya sukar dan payah untuk mendapatkannya. Emas itu mahal
harganya kerana sukar untuk mendapatkannya. Ianya bukan boleh dilombong di
semua tempat. Hanya tempat-tempat tertentu terdapat emas yang digelar lubuk
emas. Mengapa batu kelikir itu bersepah di tepi jalan dan tidak ada orang yang
mengambilnya untuk dijadikan mata cincin? Ini kerana batu kelikir tidak
mempunyai nilai berbanding emas atau berlian. Begitu juga wanita yang baik, ianya tiada 'di tepi-tepi' jalan, atau tempat yang tidak elok.
Setiap malam aku memperhambakan diriku untuk mengadap dan
meminta kepada-Mu. Walaupun apa yang diminta itu mempunyai unsur-unsur
keduniaan, tetapi ianya adalah terapi untuk aku mendekatkan diriku pada-Mu ya
Allah. Aku mengadap-Mu dalam keadaan aku hinakan diriku. Aku insan yang lemah,
yang tiada upaya dan tiada kuasa. Pada-Mu jualah aku berserah segala-galanya.
Di sujudku yang terakhir aku memohon pada-Mu agar Engkau ampunkan segala
dosa-dosaku. Ampunkan juga dosa ibu-bapaku, guru-guruku dan semua orang Islam.
Disujudku yang akhir juga, aku memohon sungguh-sungguh agar Engkau hilangkan
naluri songsang ini, lenyapkan dalam diriku naluri songsang ini.
Dengan penuh kerendahan dan sungguh-sungguh, aku memohon
kepada-Mu. ‘Ya Allah, jadikanlah aku lelaki yang baik, jadikan aku lelaki yang
paling baik, paling-paling baik, paling-paling-paling baik ya Allah’. ‘Kurniakanlah
juga aku seorang wanita yang baik, wanita yang paling baik, paling-paling baik,
paling-paling-paling baik ya Allah’. ‘Ya Allah, kau berkatilah aku, Kau
rahmatilah aku ya Allah’. ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, Kau
tetapkan aku di atas agama-Mu, dan matikanlah aku dalam keadaan yang baik,
dalam keadaan orang beriman’.
‘Ya Allah, bukanlah pintu rezekiku dan cukupkanlah keperluan
diriku’. ‘Sekiranya rezekiku ada di hadapanku, maka Kau datangkanlah dari arah
hadapanku. Sekiranya ia ada dibelakangku, maka Kau datangkanlah dari arah
belakangku, sekiranya ia ada di atasku, maka Engkau datangkanlah dari arah atasku,
Sekiranya ia di kiriku, maka Engkau datangkan dari arah kiriku, sekiranya ia
terletak di kananku, maka Engkau hadirkan ia dari kananku, dan sekiranya ia
terletak di bawahku, maka Engkau datangkan ia dari bawahku’.‘ Ya......Allah,........Tiada
tempat aku mengadu, meluahkan perasaan dan meminta selain Engkau ya Allah’.
‘Perkenankanlah doaku ini’. Inilah antara kata-kata yang aku lafazkan setiap hari
di dalam hati dalam sujud terakhir istikarahku. Aku tahu Allah itu Maha
Mendengar dan Maha Mengetahui. Walaupun aku mengulang permintaan yang sama, aku
yakin suatu hari nanti Allah akan tetap memperkenankan doa aku. Mungkin Allah
akan perkenankannya cepat, mungkin juga lambat, mungkin Allah nak tukarkan
permintaanku dalam bentuk yang lain, mungkin juga Allah ingin memberikannya di
akhirat nanti.
Jika sekiranya, telah ditakdirkan untuk aku tidak merasai
pengalaman bersalaman dengan kadi sambil melafazkan ‘Aku terima
nikahnya.......’, aku redha ya Allah (Kita tak tahu bila kita akan mati). Cuma
satu sahaja yang aku pinta pada-Mu, Jangan Engkau murka pada aku, jangan Engkau
benci pada aku, jangan Engkau hilangkan keberkatan hidupku sepanjang hayat
dikandung badan. Kau rahmatilah aku dan masukkan aku ke dalam syurga-Mu kerana
aku tahu bila aku sudah berjaya masuk ke syurga, semua aku boleh minta
kepada-Mu. Jika aku berjaya masuk ke syurga-Mu, pada ketika itu, perkara pertama yang aku nak minta adalah aku akan berdoa dan meminta kepada-Mu agar aku kembali menjadi lelaki yang normal nalurinya. Aku teringin sekali meminum arak di syurga, meminum air sungai yang mengalir
di dalam syurga dan merasai semua janji-janji-Mu seperti yang termaktub dalam
Kalam-Mu. Membayangkan sahaja tentang syurga sebenarnya sudah tidak terungkap dengan kata-kata (kerana nikmatnya lebih
daripada apa yang digambarkan).
Jika aku tidak diberi peluang untuk mencintai
bakal isteriku di dunia hingga sampai ke syurga, izinkan aku bercinta dengan-Mu di dunia hingga
sampai ke syurga.
Itulah Isthikarah Cintaku....
dan jika aku jatuh cinta dan jatuh hati......
satu benda je nk ckp, klu betul ko nk berubah, adalah lebih bagus ko x tulis blog ni.. bukannya aku nk melarang, seriously blog ko ni bagus.. tp dr pengalaman aku selama tulis blog aku tu, sedikit sbyk ia membuatkn diri aku 'plu' sgt2.. ko akn acknowledge diri ko mcm mana.. sperti aku, dulu, aku x acknowledge diri aku gay walaupun itu lh hakikatnya, but then lama2 aku dh trima hakikat itu.. dh kerap sgt aku tulis word 'gay' dlm blog aku.. pd awalnya memang xde word 'gay' langsung...
ReplyDeleteada blog mcm ni honestly membuatkn kita rasa gembira sbb ada org yg memahami kita.. dan kerana 'penerimaan' itu lama kelamaan membuatkn kita trperangkap.. aku x tahu nk explain mcm mana.. this blog akn membuatkn ko brfikir lebih kerap tentang kehidupan n masalah yg ko hadapi.. walaupun ia bagus sbb kita dpt meluahkn apa yg trpendam d hati, tp adakalanya utk brubah ko prlu melupakn semuanya.. try to avoid semua yg related tentang plu..
honestly, sejak aku menulis blog aku tu, hampir setiap hari aku brfikir tentang masalah yg ku hadapi.. kdg2 bosan gak asyik fikir tentna hal2 mcm ni.. tp aku rasa yg aku dh trlebih involve.. entahlh, aku x tahu nk ckp mcm mana.. sbb aku pun dh byk pengalaman dlm 'dunia blog plu'.. byk blog plu yg aku join, tp sejak kebelakangan ini, satu prsatu blog mereka dh deactivate... 'aku nk delete blog aku.. otak aku dh bosan asyik trfikirkan hal2 mcm ni..' ko akn faham suatu hari nanti...
Aku rasa aku faham apa yang Putera maksudkan. Maknanya kalau kita nak berubah, kita kena tinggalkan atau tidak memikirkan tentang dunia kita. Umpamanya seorang perokok tegar yang ingin berhenti merokok, tidak sepatutnya bekerja sebagai jurual di sebuah kedai yang menjual berbagai jenis rokok.Setiap manusia berbeza-beza cara berfikir. Walaupun ia melihat satu perkara yang sama, tetapi interpretasi adalah berbeza beza. Seorang guru tadika meminta 30 orang murid2nya melukis gambar rumah. Hasilnya, terdapat 30 jenis rumah dengan gambaran berbeza-beza. Ada yang melukis rumah setingkat, ada yang melukis rumah papan, ada yang bertiang, ada yang berbumbung tirus, ada rumah teres, ada yang tiada tingkap, ada yang tepi laut dan lain-lain.
ReplyDeleteTujuan sebenar aku menulis adalah untuk meluahkan apa yang aku rasa sebab aku dah tak boleh pendam lagi. Kalau aku nak luahkan, bukan semua orang aku boleh luahkan. Kalau aku luahkan pada golongan kita, mereka bukan setiap hari sudi mendengar luahan aku. Bila aku luahkan aku rasa tekanan itu semakin hilang dan aku rasa lebih tenang. Walaupun dalam sesetengah tulisan aku agak 'hipokrit' atau menipu diri sendiri, aku kena berfikiran positif sebab aku mesti dipandu oleh agama. Aku ada juga berkongsi dengan rakan blogger yang lain, tetapi lebih meminta sudut sisi pandangan mereka yang berbeza sebab pada masa tertentu motivasi kita lemah dan cara kita berfikir adalah negetif.
Perubahan mengambil masa yang panjang. Selama mana masanya aku tak tahu. Tapi aku percaya dan yakin penghujungnya pasti ada kesudahannya. Kalau kau baca balik apa yang aku tulis dari post awal, ianya bersifat dialog aku dengan Allah, apa yang aku rasa aku luahkan pada Allah. Aku tak mengadu pada manusia, sebab mereka tidak boleh melakukan apa-apa. Aku cuba bangkit sendiri dengan hanya meminta sedikit kekuatan dari Yang Maha Esa.
Bila aku rasa agak sedikit kuat, aku mungkin tidak lagi aktif menulis, dan mungkin juga akan deactive kan blog ni. Aku tahu ramai orang di luar sana yang mengalami krisis kecelaruan identiti, sama ada ada dia PLU, gay, lesbian, transgender, atau biseksual. Ramai yang bersembunyi di dalam wajah yang berbeza.Dalam masa yang sama aku tidak berminat untuk mempromosikan budaya hidup songsang ini. Kita tak boleh menolak mereka bulat2 (atas alasan mereka songsang), tapi masyarakat mesti memahami kewujudan mereka dan membantu dengan memberi alternatif untuk mengubat penyakit ini. Bukan membenci atau mencerca mereka.
Aku rasa bila aku menulis, aku boleh menghayati agama dengan lebih baik. Tengoklah suatu hari nanti kalau blog ini membuatkan aku lebih hanyut, tindakan lain aku akan ambil. Aku muhasabah diri aku setiap hari dan aku berpegang dengan ayat 3 surah as-sof "Amat besar kemurkaan Allah bila kamu mengatakan sesuatu tapi kamu tidak kerjakan". Ayat ini menjadi motivasi untuk aku melakukan apa yang aku telah ungkapkan.
Sayu baca isi doa dan isi hati hakimi...... Terasa membaca kisah diri sendiri bila membaca sebahagiannya..... Moga Allah memberikan belas ehsanNya dan menguatkan lagi iman kita semua insan yang di uji oleh Nya....
ReplyDeleteKimi, yakinlah pada Allah yang sentiasa mendengar, sebak baca entry ni...Menulis akan mendorong kita melakukannya, benar kita akan terpengaruh dengan apa yang kita tulis lama kelamaannya...Tulisan Kimi sangat positif impaknya pada akak...
ReplyDelete