Tuesday, 10 January 2012

Terimalah Taubat Kami

Malunya aku pada-Mu ya Allah. Aku malu melakukan maksiat pada-Mu ya Allah. Malu pada-Mu kerana sanggup menzalimi diri sendiri. Malu sangat-sangat kalau mengaku diri ini cenderung pada golongan sejenis. Tapi demi Allah, aku tak minta perasaan itu hadir dalam diriku, aku benci dengan perasaan songsang ini kerana ia betul-betul menyeksa hidup ini. Hanya mereka yang ditimpa ujian ini sahaja yang memahami berapa beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung walaupun beban tu tak nampak secara fizikalnya.


Ya Allah, kalau kematian itu lebih baik bagiku maka bawalah aku kepada Mu. Tetapi jika penghidupan itu lebih baik bagiku, maka kau rahmatilah aku, berkatilah aku dan mudahkanlah urusanku untuk mencapai cita-citaku menjadi muslim yang bertaqwa, patuh dan taat pada-Mu. Jadikan imanku sehebat iman para sahabat Nabi Muhammad, seteguh iman Abu Bakar As-Siddiq dan sekuat iman Umar Al-Khattab. Walaupun pada realitinya mereka menjadi hebat kerana mereka mendapat pentarbiyahan dan sentuhan agung daripada kekasihmu Muhammad ya Allah. Jangan jadikan aku orang Islam yang munafik, fasik dan pelaku maksiat.


Ya Allah..


Terimalah taubatku dan taubat sahabat-sahabat senasib denganku seperti hidayatsetelahhiv.blogspot.com, akupositif.wordpress.com , dan lain-lain yang Allah. Ya... memang kami telah tersesat dan terkeluar dari landasan yang lurus. Tetapi kami telah tersedar dan ingin berada kembali di landasan-Mu yang lurus. Sebahagian daripada kami telah diuji dengan ujian yang cukup hebat dan ujian itulah sebenarnya yang membuka mata dan mengembalikan kami kepada cahaya hidayah-Mu. Terimalah taubat kami dan jangan campakkan kami ke lembah kehinaan sama ada ketika di dunia atau hari pembalasan.


Dengan keberkatan dan mukjizat ayat suci al-quran yang telah Engkau turunkan kepada ummat Muhammad, berilah kami kekuatan untuk terus menerus mengerjakan amal dalam keadaan hati yang sejahtera, bersih, suci dan murni dan menjadi hamba-Mu yang benar-benar ikhlas beribadah kepada-Mu.



No comments:

Post a Comment